KUALA LUMPUR 10 Mei - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. masih berada dalam kalangan kaunter paling aktif di Bursa Malaysia untuk hari kedua sejak kembali diniagakan mulai semalam.
Ia menyaksikan harga sahamnya terus merosot, yang mana setakat 10.46 pagi ini susut 4 sen atau 36.36% kepada 7 sen sesaham, dengan 271.83 juta saham diniagakan.
Ketika memulakan dagangan pagi tadi, sahamnya merosot sehingga 4.5 sen atau 40.91% kepada 6.5 sen.
Dalam penutupan semalam, Serba Dinamik mengakhiri dagangan serendah 11 sen setelah susut 24 sen atau 68.6%.
Dagangan sahamnya sebelum ini digantung sejak 22 Oktober 2021 pada 35 sen, rentetan daripada tindakan perundangan yang dikenakan terhadap Serba Dinamik dan 4 pegawai kanannya (termasuk Abdul Karim).
Baca : 9 Mei 2022: Saham Serba Dinamik didagangkan semula tetapi...
Konflik yang dihadapi Serba Dinamik tercetus ekoran isu audit yang dibangkitkan bekas juruauditnya, KPMG selepas melaporkan ketidakseragaman akaun syarikat pada pertengahan tahun lalu.
Kemuncaknya, ia menyaksikan pendakwaan di mahkamah kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) pada Disember 2021.
Selain itu, waran Serba Dinamik juga merosot dalam dagangan setakat pagi ini, susut 0.5 sen atau 16.67% kepada 2.5 sen.
Dengan 27.65 juta saham diniagakan, waran Serba Dinamik merupakan kaunter keempat paling aktif diniagakan. - DagangNews.com


