Saham Serba Dinamik melonjak lebih 100% ketika dagangan disambung semula pagi ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Serba Dinamik melonjak lebih 100% ketika dagangan disambung semula pagi ini

KUALA LUMPUR  13 Jan - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. melonjak lebih 100% apabila dagangannya dibuka semula pagi ini  dan muncul kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia.

 

Setakat 10.41 pagi ini, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 150% kepada 2.5 sen dengan 153.69 juta saham diniagakan menjadikan permodalan pasaran syarikat pada RM93.18 juta. 

 

Semalam, syarikat itu memaklumkan dagangan sekuritinya akan disambung semula berkuat kuasa 9 pagi pada 13 Januari 2023

 

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, ia turut memaklumkan mengenai Pekeliling Penyenaraian berkaitan dengan penggantungan dagangan Serba Dinamik yang akan berkuat kuasa bermula 9.00 pagi, 18 Januari 2023, berkenaan Perintah Penggulungan terhadap syarikat itu.

 

Baca : Usaha memulihkan Serba Dinamik bukanlah satu tugas mudah - Abdul Karim

 

Serba Dinamik dan tiga anak syarikatnya ketika ini berdepan dengan perintah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi. 

 

Pada Selasa, Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan untuk menggulung Serba Dinamik dan subsidiarinya iaitu Serba Dinamik International Ltd (SDIL), Serba Dinamik Group Bhd. (SDGB) dan Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB).

 

Enam institusi kewangan selaku pempetisyen saman itu adalah Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd.

 

Susulan itu, Lembaga Pengarah Serba Dinamik pada Rabu memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memerintahkan penggulungan syarikat itu dan tiga anak syarikatnya. - DagangNews.com