Saham MyEG paling aktif diniagakan selepas KWSP tingkatkan lagi pegangan  | DagangNews Skip to main content

Saham MyEG paling aktif diniagakan selepas KWSP tingkatkan lagi pegangan 

KUALA LUMPUR 9 Feb - Saham MyEG Services Bhd. terus aktif diniagakan pagi ini selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pegangannya langsungnya kepada 6.897% dalam syarikat tersebut. 

 

Pada pukul 9.26 pagi ini, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 2.1% kepada 73 sen dengan 57.28 juta saham diniagakan. 

 

Setakat tahun ini, harga sahamnya merosot sehingga 16.86% dan 29.9% sepanjang tahun lalu.

 

Harga sahamnya kembali pulih selepas ia menjunam ke paras terendah sejak November 2020 pada Isnin, susut 26.7% kepada 70 sen. 

 

Ia berikutan laporan bahawa kerajaan bercadang menyatukan semua perkhidmatan dan proses imigresen termasuk pembaharuan pasport, permohonan visa serta permohonan dan pembaharuan permit pekerja asing di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) menjelang 2025. 

 


Baca : Tiada perbincangan dengan kerajaan mengenai penyatuan transaksi menggunakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional - MyEG Services

 

 

Berdasarkan makluman di Bursa Malaysia semalam, KWSP meningkatkan pegangannya selepas ia membeli 1.54 juta saham MyEG pada 2 Februari, menjadikan pegangannya dalam syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat itu kepada 512.97 juta saham daripada 511.9 juta saham (6.882%).

 

KWSP telah mengumpul saham dalam MyEG sejak Disember tahun lalu dan setakat ini, dana pencen itu telah membeli 12.8 juta saham secara keseluruhan.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, MyEG memaklumkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) telah membeli 17.37 juta saham syarikat itu dan turut menjual 8.07 juta saham. 

 

Kedua-dua urus niaga itu berlaku di pasaran terbuka pada 7 Februari lalu.

 

KWAP memegang kepentingan langsung sebanyak 6.107% dan pegangan tidak langsung sebanyak 1.187% dalam MyEG.

 

Di sebalik penjualan pada Selasa, syarikat itu membeli dua juta saham di pasaran terbuka pada harga RM1.44 juta. 

 

Pada masa sama, pemegang saham utama dan pengarah urusan, Wong Thean Soon membeli lima juta saham pada harga RM3.69 juta. - DagangNews.com