Saham berkaitan Petronas, perladangan heret turun KLCI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham berkaitan Petronas, perladangan heret turun KLCI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Pasaran tempatan berakhir lemah petang ini diheret turun terutamanya oleh saham perladangan dan berkaitan Petronas. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI ditutup 7.60 mata atau 0.48% kepada 1,581.59 mata walaupun dibuka tinggi pada 1,590.67 mata. 

 

Sepanjang hari ini, indeks bergerak dalam jajaran antara 1,577.79 hingga 1,592.16 mata sebelum menutup dagangan dengan 4.44 bilion saham bertukar tangan bernilai RM2.9 bilion. 

 

Bagi keseluruhan pasaran, bagaimanapun, kaunter untung mengatasi rugi pada 624 berbanding 476 manakala 398 tidak berubah dan 740 tidak diniagakan. 

 

Sementara itu, Reuters melaporkan sebahagian besar dagangan di rantau Asia diniagakan agak lemah berikutan pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup sempena cuti umum Hari Buruh.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham perladangan, Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) antara mendahului dagangan di kaunter rugi dengan menyusut 70 sen kepada RM20.80. 

 

Ia diikuti dengan Genting Plantation Bhd. yang juga berakhir rendah dengan susut 19 sen kepada RM7.34. 

 

Saham-saham berkaitan Petronas turut mengungguli kaunter rugi dengan Petronas Dagang Bhd. susut 30 sen kepada RM19.80 diikuti Petronas Gas Bhd. susut 22 sen kepada RM16.78 dan Petronas Chemical Bhd. susut 14 sen kepada RM8.10. 

 

Sebaliknya kaunter rugi didahului dengan saham Nestle Malaysia Bhd. susut RM1.40 kepada RM133.90. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham berkaitan teknologi, Malaysian Pacific Industries (MPI) Bhd. mendahului dagangan dengan ditutup RM1.65 lebih tinggi kepada RM46.50. 

 

Genetec Technology Bhd. dan Vitrox Corp Bhd. juga masing-masing mengakhiri dagangan tinggi dengan menokok RM1.28 kepada RM31.50 dan 42 sen kepada RM19. 

 

Apa yang menarik, saham BSL Corp Bhd. turut mendahului kaunter untung petang ini selepas mengumumkan bakal mengambil alih firma Singapura, SD Unify Pte Ltd. sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran dalam sektor semikonduktor. 

 

Dagangan kaunter aktif pula menyaksikan Emico Holdings Bhd. diniagakan rancak sepanjang hari sebelum berakhir dengan nilai 44 sen setelah harga sahamnya menokok 7 sen atau 18.92%. 

 

KNM Group Bhd., Scope Industries Bhd., Ucrest Bhd., Dagang Nexchange Bhd. dan Nestcon Bhd. turut berakhir di kaunter aktif petang ini. - DagangNews.com