Sahabat Usahawan AIM ubah strategi perniagaan untuk pastikan terus bertahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sahabat Usahawan AIM ubah strategi perniagaan untuk pastikan terus bertahan

Shamsiah Seman menjalankan perniagaan motosikal terpakai di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

MARANG 11 Nov - 'Berpantang maut sebelum ajal' - Itulah semangat yang wujud dan dipegang dalam diri Shamsiah Seman selepas perniagaan motosikal terpakai yang diusahakan sejak 28 tahun lalu hampir rebah ekoran penangan pandemik COVID-19 yang melanda negara lebih dua tahun lalu.

 

Enggan membiarkan perniagaan itu 'terkubur', ibu kepada lima cahaya mata itu bangkit untuk mempertahankan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan keluarganya.

 

Selain setia menanti pelanggan di kedainya yang terletak di Wakaf Tapai, Marang, peniaga berusia 56 tahun itu juga tampil berani dengan mengubah stategi jualan menerusi media sosial bagi mempromosi dan memperkenalkan jualan motosikal terpakainya.

 

Bercerita lanjut liku perniagaan yang terpaksa ditempuhi itu, Shamsiah mengakui untuk mempertahankan perniagaan itu bukanlah mudah dengan persaingan sengit yang terpaksa dilaluinya.

 

Jelasnya, cabaran berganda terpaksa ditempuhinya untuk bangkit dari episod memeritkan apatah lagi dia terpaksa membayar motorsikal yang ingin dipasarkannya secara tunai.

 

Bagaimanapun Shamsiah masih beruntung kerana menjadi Sahabat Usahawan Amanah Iktiar Malaysia (AIM) sehingga dia mampu mempertahankan dan bangkit kembali meneruskan perniagaan yang diusahakan bersama suaminya itu.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Ketika COVID-19 melanda, perniagaan saya agak tenat dan hampir berputus asa kerana tiada pendapatan sehingga terpaksa menggunakan duit simpanan untuk meneruskan kehidupan.

 

"Pernah juga terdetik untuk menukar haluan dengan berniaga makanan, namun kerana sayang dengan perniagaan yang telah lama diceburi itu membuatkan saya membatalkan hasrat itu.

 

"Mujur ada AIM, bolehlah saya meneruskan perniagaan untuk mencari modal. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu bagaimana penghujung perniagaan saya ketika dilanda ujian getir ini," katanya.

 

 

AIM

 

 

Berkat kesabaran itu Shamsiah kini mampu bernafas kembali dan setiap hari ada sahaja motosikal terpakai dikedainya akan disambar pelanggan.

 

Jelasnya, antara motosikal paling laris adalah Honda EX-5 yang menjadi tarikan orang ramai khususnya penduduk kampung.

 

Beliau turut berterima kasih kepada AIM yang banyak membantu peniaga sepertinya untuk terus bertahan sehingga hari ini. - DagangNews.com