Sabella lancar Baju Raya Rahmah serendah RM10 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabella lancar Baju Raya Rahmah serendah RM10

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Jenama pakaian tempatan yang sinonim dengan slogan 'Baju Tanpa Gosok', Sabella Holding Sdn Bhd mengedarkan sebanyak 700,000 pasang Baju Raya Rahmah Sabella yang akan dijual serendah RM10 menerusi Karnival Raya Sabella di enam buah lokasi seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sabella, Mohd Sufian Sulaiman berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyertai program Rahmah yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam usaha mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya golongan B40.

 

"Di luar sana, masih ramai lagi yang dalam kesusahan membina hidup. Saya berharap dengan inisiatif ini dapat mengurangkan beban dan menceriakan rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya.

 

“Lagipun dari dulu lagi, jenama Sabella bukan sekadar menyelesaikan masalah orang ramai ‘Baju Tanpa Gosok’ tetapi juga ia mampu milik dan Baju Raya Rahmah akan dijual serendah RM10 menerusi Karnival Raya Sabella di 6 lokasi seluruh negara,” katanya pada majlis Program Baju Raya Rahmah Sabella.

 

Terdahulu, majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Pejabat Sabella Holdings Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

 

Lokasi Karnival Raya Sabella bakal berlangsung pada 25 Mac 2023 di Sabella Hq, Dewan Kg Melayu Majidee (Johor Bharu), Dewan Teratai (Shah Alam), Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (Alor Setar), Mydin Tunjong KB (Kota Bharu) dan Dewan TER (Kuala Terengganu).

 

Dalam pada itu, Sufian berkata, pihaknya juga akan menyumbang  Baju Raya Rahmah kepada golongan asnaf dan pada masa sama melaksanakan Projek Komuniti Santuni Guru sempena sesi pembukaan sekolah yang mana sumbangan diberi kepada dua buah sekolah Kawasan Parlimen Pulai dan Parlimen Batu Pahat.

 

 

sabella
Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua, kiri) melancarkan Program Baju Raya Rahmah Sabella sambil disaksikan oleh Mohd Sufian Sulaiman (dua, kanan) di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini. Turut kelihatan, Pengasas RichWorks International Sdn Bhd, Datuk Wira Dr Azizan Osman (kanan).

 

 

sabella

 

 

Beliau juga menjangkakan jualan Sabella akan mencecah sehingga RM30 juta.

 

“Misi kami, semua orang perlu merasai baju baru bagi sambutan Raya nanti. Saya yakin, dengan harga yang sangat mampu milik, kami mampu capai sasaran jualan,” katanya.

 

 

sabella

 

 

Selain itu, baju raya Sabella juga dijual secara e-dagang menerusi 250,000 usahawan Sabella di seluruh negara. - DagangNews.com