KUALA LUMPUR 8 Dis - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan pelantikan Rusli Jaafar, 59, sebagai Pengerusi Eksekutif baharu.
SKM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan beliau telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022.
"Pelantikan ini selaras dengan Perkara 11(3)(a) Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665)," katanya.
Katanya, Rusli berasal dari Kuala Selangor merupakan lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujiaan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah memegang jawatan Pengarah SKM Negeri Selangor pada tahun 2017 hingga 2019 dan pengarah di beberapa bahagian di ibu pejabat.
Beliau merupakan pegawai khas kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini.
Rusli juga telah berkhidmat selama 30 tahun di Jabatan Pembangunan Koperasi (kini SKM) lagi. - DagangNews.com








