KUALA LUMPUR 31 Mei - Bertemakan ‘Lebaran Terindah’, seramai lebih 1,000 tetamu terdiri daripada rakan-rakan strategik dan perniagaan serta kementerian bersama agensi hadir di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), semalam.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Istimewanya kali ini, selain pelbagai jenis juadah makanan Hari Raya, para tetamu turut disajikan dengan produk makanan dan minuman dari jenama francais dan pra-francais di bawah Pernas seperti Gloria Jean’s Coffees dan 1901.
Selain itu, para tetamu juga berpeluang merasai keenakan makanan dan minuman daripada usahawan program Business in Transformation (BIT) Pernas iaitu Apam Balik Kuhot, MD Putu Bambu World, GPC Pisang Goreng Crispy, Old Time Sengkung, Keropok Getel dan Amir BM CKT.

Para tetamu yang hadir berpeluang menikmati persembahan daripada kumpulan muzik, Caliph Buskers sebagai halwa telinga sepanjang majlis tersebut berlangsung.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, majlis yang diadakan tahun ini merupakan perantara dalam menjalinkan hubungan yang lebih erat antara warga kerja dengan rakan-rakan strategik, kementerian dan agensi.
"Ia juga memberi peluang menghimpunkan usahawan-usahawan seperti francaisor dan francaisi, sekali gus mengenali mereka dengan lebih dekat.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu-tetamu yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini dan warga kerja yang telah memastikan majlis hari ini berjalan lancar," katanya. - DagangNews.com








