KUALA LUMPUR 12 Julai - Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) menerima kunjungan Putera Charles, Putera Wales yang baru-baru ini dinamakan sebagai penaungnya untuk pameran seni arca yang ditujukan khas buat pekerja perubatan di seluruh dunia bagi menghargai jasa mereka bertugas sepanjang mengharungi pandemik COVID-19.
Dicipta oleh Profesor Kenny Hunter, pengukir terkenal dan Profesor Seni Ukir di Kolej Seni Edinburgh, karya hebat itu yang dipercayai pertama di Scotland akan disempurnakan dengan salutan gangsa akhir tahun ini.
Arca seni itu menggambarkan empat figura bersaiz sebenar dalam ‘scrub’ yang mengalami detik refleksi pada akhir syif mereka di wad hospital COVID-19 bagi memberi penghargaan kepada rasa belas kasihan dan daya tahan pekerja perubatan.

Petugas barisan hadapan ini termasuk kakitangan perubatan di Malaysia berdepan dengan bahaya dan risiko yang lebih tinggi berbanding orang awam, walaupun dengan perlindungan yang sewajarnya.
Dalam laporan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 5 Julai 2022, sebanyak 117,751 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan petugas perubatan dan juga mewakili 2.56% daripada jumlah kes positif di Malaysia sejak bermulanya wabak ini.
Antara petugas perubatan yang telah dijangkiti, 32 daripada mereka telah meninggal dunia dalam perkhidmatan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, yang dianugerahkan Ad Hominem Fellowship berprestij RCSEd pada 2018 berkata, dunia telah menyaksikan pengorbanan dan jasa para pekerja perubatan sepanjang wabak ini.
Menurutnya, warga kerja perubatan telah mencurahkan bakti yang tidak terhingga dari segi masa dan kudrat mereka untuk menjamin kesihatan dan nyawa pesakit dalam situatasi belum pernah berlaku sebelum ini
sambil meletakkan diri mereka dan keluarga mereka dalam keadaan bahaya.
"Hasil seni yang luar biasa oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh ini merupakan penghargaan yang
sesuai bagi barisan hadapan perubatan di seluruh dunia termasuk Malaysia atas dedikasi dan
komitmen yang diberikan kepada masyarakat," katanya.
Pengukir dan pensyarah terkenal, Kenny Hunter membangunkan konsep reka bentuk karyanya selepas meluangkan masa bersama empat pekerja perubatan yang ditempatkan di wad COVID-19.
Hasil daripada perbualannya dengan pekerja perubatan tersebut mengilhamkan seni arca yang mengabadikan campuran pelbagai emosi yang dialami mereka sepanjang bertugas pada masa yang mencabar itu.
Dalam memperingati daya tahan kakitangan perubatan di seluruh dunia, di sebalik semua kesukaran dan cabaran yang dihadapi semasa menyampaikan penjagaan kepada mereka yang memerlukan, arca seni itu akan dinamakan “Your next breath”, atau Nafas Seterusnya untuk menonjolkan impak virus pada sistem pernafasan individu dan kesannya pada semua orang. - DagangNews.com








