KUALA LUMPUR 3 Jun - Pelabur asing dilihat akan terus membeli ekuiti tempatan berdasarkan aliran masuk asing setakat tahun ini sebanyak RM7.4 bilion, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Penganalisisnya, Alex Goh berkata, pada masa sama, pegangan asing juga meningkat kepada 20.4% setakat Mei 2022 daripada 20.1% pada Februari lalu.
Malah, katanya, pelabur asing juga masih mengekalkan kedudukan mereka sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan setakat ini.
"Disokong oleh harga minyak yang kukuh dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 5.6%, analisis dalaman kami melihat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.38 pada masa ini kepada RM4.25 pada suku keempat.
"Dengan 2 kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022, ringgit secara beransur-ansur menjadi normal kepada RM4.12 pada 2023.
"Di bawah tinjauan risiko mata wang yang agak terkawal ini, kami masih menjangkakan pelabur asing akan terus tertarik kepada ekuiti Malaysia," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-97 berkata, kegusaran komuniti pelabur antarabangsa adalah antara faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit ketika ini.
Baca : Kegusaran pelabur antarabangsa antara penyebab penyusutan nilai Ringgit - Tengku Zafrul
Keadaan itu menyebabkan pelabur memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang menjana hasil yang lebih tinggi di AS dan menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang dunia, termasuk ringgit.
Menurut Tengku Zafrul, prospek pertumbuhan China yang dijangka lebih lemah tahun ini akibat sekatan pergerakan di bandar-bandar utama negara itu telah melemahkan mata wang yuan yang seterusnya memberi impak kepada ringgit.
Selain itu, situasi ketegangan geopolitik dunia yang tidak menentu juga memberi tekanan kepada ekonomi seluruh dunia, tetapi ia dilihat sebagai sementara dan nilai mata wang ringgit dijangka kekal stabil dan terus mengukuh.
Setakat 9.02 pagi ini, ringgit menokok kepada RM4.3805/3840 berbanding dolar AS, berbanding penutupan semalam pada RM4.3880/3910.

Sementara itu, Goh mengekalkan unjuran akhir tahun FBMKLCI sekitar 1,745 mata ditambat kepada median 5 tahun memandangkan pelabur tempatan mungkin beralih kedudukan sebagai pembeli ekuiti menjelang akhir 2022 di tengah-tengah pertumbuhan prospek pendapatan sesaham (EPS) bagi 2023 yang lebih jelas.
"Dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan indeks akan terikat dalam julat antara 1,500 dan 1,600 mata berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa baru-baru ini mungkin dapat mengurangkan kebimbangan stagflasi.
"Selain itu, ia juga dipengaruhi ketidaktentuan pendapatan di tengah-tengah perubahan harga komoditi, kejutan rantaian bekalan apabila Rusia diboikot ekonomi global, pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta khabar angin politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya.
Dalam senario terburuk, tambahnya, KLCI mungkin jatuh ke paras sekitar 1,415 mata disebabkan prestasi hasil korporat yang mengecewakan, tercetusnya gelombang baharu COVID-19, kejutan geopolitik seterusnya dan pembalikan aliran masuk asing.
Mengenai pelaksanaan semula GST, beliau berkata, harga kenderaan dijangka meningkat antara 1 hingga 3% manakala pengeluar makanan utama seperti Nestle sebahagiannya boleh mendapat manfaat daripada bantuan tunai kepada kumpulan B40 dan M40.
Bagaimanapun, Goh kekal berhati-hati terhadap sektor hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan media dijangka terjejas dengan pelaksanaan semula cukai tersebut.
"Sektor hartanah mungkin terdedah kepada permintaan yang lebih perlahan daripada harga produk yang lebih tinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemampuan yang meningkat.
"REIT pula boleh mengalami pertumbuhan kedatangan pengunjung dan jualan penyewa yang lebih perlahan berikutan pengurangan perbelanjaan pengguna manakala sektor media mungkin berdepan penurunan langganan dan perbelanjaan pengiklanan (adex)," jelasnya.
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat yang dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
GST sebelum ini pernah dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% sebelum dimansuhkan apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang pada PRU-14, yang menyaksikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada September 2018. - DagangNews.com








