Risiko COVID-19 masih wujud, teruskan penjarakan sosial kata KPN | DagangNews Skip to main content

Risiko COVID-19 masih wujud, teruskan penjarakan sosial kata KPN

Abdul Hamid Bador (kiri) menerima sumbangan membeli PPE bernilai RM150,000 daripada JTI yang diwakili Cormac O'Rourke di Bukit Aman, hari ini.

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Rakyat Malaysia diingatkan supaya terus mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka kerana risiko pandemik COVID-19 masih wujud, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Kami ingatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana negara ini sedang menghadapi kluster COVID-19 yang baharu,'' kata beliau.

Abdul Hamid berkata demikian pada majlis penerimaan sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bernilai RM150,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh syarikat Japan Tobacco International (JTI) Malaysia di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada pihak JTI atas sumbangan syarikat itu untuk membantu anggota polis menjalankan tugas mereka dengan lebih selamat menggunakan PPE.

"Kami percaya akan kebersamaan dan perkongsian tanggungjawab melalui sumbangan dan bantuan berterusan yang akan memberi manfaat kepada komuniti kita,'' kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan JTI, Cormac O’Rourke berharap sumbangan JTI tersebut akan membantu polis di barisan hadapan yang telah mempertaruhkan nyawa setiap hari untuk menegakkan undang-undang dalam suasana sosial dan ekonomi yang mencabar ini.

"Kami sangat berharap rakyat Malaysia akan terus mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dan kita sama-sama menghalang kebangkitan gelombang COVID-19 yang baharu di negara ini,” kata Cormac. - DagangNews.com