RHB Research semak turun penarafan Ta Ann kepada 'neutral', TP lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research semak turun penarafan Ta Ann kepada 'neutral', TP lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - RHB Research menyemak turun penarafan Ta Ann Holdings Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran juga dikurangkan kepada RM5.70 daripada RM6.40 sesaham.

 

Ini berikutan prestasi kewangan Ta Ann pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, adalah tersasar daripada jangkaan firma. 

 

Menurutnya, kumpulan merekodkan jumlah jualan yang lebih rendah merentasi semua bahagian, hingga menyebabkan hasil pada suku berkenaan tidak memenuhi ramalannya.

 

"Walaupun log jumlah pengeluaran pada suku pertama (meningkat 48% tahun ke tahun) melebihi anggaran kami, tetapi jumlah jualan adalah lebih rendah daripada jangkaan kerana Ta Ann nampaknya hanya mengeksport 24% daripada keluaran log pada suku pertama (berbanding unjuran kami pada 40%). 

 

"Kami menaikkan log pengeluaran sebanyak 13% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), tetapi mengurangkan andaian jumlah jualan kami sebanyak 28%, agar sejajar dengan suku pertama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Ta Ann merekodkan untung bersih sebanyak RM104.62 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat lebih 2 kali ganda berbanding RM40.97 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Peningkatan ini didorong harga purata jualan (ASP) lebih tinggi bagi minyak sawit mentah, buah tandan segar (BTS) dan produk papan lapis.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 43.2% kepada RM487.75 juta berbanding RM340.62 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut RHB Research, pertumbuhan BTS kumpulan pada suku berkenaan susut 3% tahun ke tahun, di bawah anggarannya sebanyak 8.8% manakala 11% bagi panduan pengurusan pada FY22.

 

Di sebalik berdepan kekurangan tenaga buruh sehingga 30% pada suku pertama, kumpulan berjaya menangani masalah tersebut dengan mengambil pekerja kontrak, sekali gus mengurangkannya kepada 10% pada masa ini.

 

"Untuk itu, kami telah menyemak semula unjuran pertumbuhan BTS bagi FY22-FY24 kepada 1% hingga 5% (daripada 1% hingga 9%), serta unjuran pembelian BTS luaran sebanyak 1.2% hingga 4.5%," jelasnya.

 

Setakat 10.46 pagi ini, harga saham Ta Ann susut 31 sen atau 5.54% kepada RM5.29 dengan 1.92 juta saham diniagakan. - DagangNews.com