RHB Research semak turun penarafan Datasonic kepada 'neutral' dengan TP 57 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research semak turun penarafan Datasonic kepada 'neutral' dengan TP 57 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Jun - RHB Research menyemak turun penarafan Datasonic Group Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada 57 sen setelah prestasi kewangan kumpulan meleset daripada jangkaan firma. 

 

Menurut firma itu, keuntungan teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22) sebanyak RM10.3 adalah tersasar daripada jangkaannya berikutan tempahan yang lebih rendah untuk penyelesaian berkaitan pasport dan penggunaan MyKad.

 

"Walaupun kami percaya mungkin terdapat permintaan terpendamyang kukuh untuk penyelesaian berkaitan pasport, memandangkan pembukaan semula sempadan (yang berpotensi menjana keuntungan sekali sahaja pada FY23), tetapi harga saham semasa sepatutnya mencerminkan keyakinan terutama dalam ketiadaan perolehan kontrak baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Datasonic kembali mencatat untung pada suku keempat berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM13.37 juta berbanding kerugian bersih RM5.63 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pendapatan yang lebih tinggi.

 

Pada suku berkenaan, pendapatan meningkat lebih daripada 2 kali ganda kepada RM54.34 juta daripada RM25.82 juta dipacu terutamanya menerusi pembekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan peribadi.

 

Bagi FY22, untung bersih Datasonic melonjak 40.29% kepada RM10.24 juta berbanding RM7.3 juta bagi FY21, sebaliknya pendapatan susut 1.43% kepada RM136.43 juta daripada RM138.41 juta.

 

Menurut RHB Research, nilai kontrak Datasonic ketika ini berjumlah RM435 juta, menyediakan nisbah perlindungan 1.7 kali dalam persekitaran operasi normal. 

 

"Kumpulan masih aktif membida kontrak tambahan dalam kecekapan terasnya iaitu penyelesaian berkaitan MyKad, kad pengenalan digital nasional dan penyelesaian i-Kad untuk meningkatkan lagi nilai kontraknya," tambahnya.

 

Firma itu bagaimanapun menyemak semula unjuran tempahan bagi FY23 selepas mengambil kira kadar cukai efektif yang lebih tinggi, memandangkan tamat tempoh status perintisnya pada 17 Mei.

 

Katanya, ini memberi impak neutral kepada pendapatan bagi FY23 tetapi untung bersih FY24 lebih rendah sebanyak 12%.

 

"Tetapi, kami menyemak turun penarafan sahamnya kepada 'neutral' berikutan kekuatan harga saham baru-baru ini, yang mengambil kira keyakinan pemulihan pendapatan berbentuk V ekoran penyambungan semula pesanan pasport yang kukuh di tengah-tengah penarikan sekatan sempadan," jelasnya.

 

Setakat 12.22 tengah hari, harga saham Datasonic menokok 0.5 sen atau 0.89% kepada 56.5 sen dengan 7 juta saham diniagakan. - DagangNews.com