RHB Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan di sebalik prospek berhati-hati | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan di sebalik prospek berhati-hati

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - RHB Securities Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah saham Hong Leong Bank Bhd., AMMB Holdings Bhd. dan Malayan Banking Bhd. (Maybank). 

 

Menurut firma itu, bank menyaksikan peningkatan sebanyak 9% setakat ini, dengan mengatasi prestasi penanda aras pasaran (-1%) mencerminkan sifat sektor yang agak defensif dan pemulihan ekonomi negara yang beransur-ansur.

 

"Walaupun momentum asas adalah kukuh memasuki suku kedua 2022, tetapi sektor perbankan menunjukkan nada berhati-hati terhadap pertumbuhan perniagaan dan kualiti aset. 

 

"Sehubungan itu, kami mengunjurkan pendapatan sektor ini akan bertambah baik sebanyak 5.4% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati bank-bank di bawah liputannya memulakan tahun 2022 dengan stabil dengan 5 daripadanya menunjukkan hasil yang memenuhi jangkaannya.

 

AMMB dan CIMB Group Holdings Bhd. merekodkan hasil yang lebih daripada jangkaan berikutan caj rosot nilai yang lebih rendah dan pengiktoran kredit cukai bagi AMMB.

 

Sebaliknya, Bank Islam Malaysia Bhd. merekodkan hasil di bawah jangkaan bagi 2 suku berturut-turut disebabkan pendapatan bukan pembiayaan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Menurut RHB Research, sektor pembiayaan berkembang 1.7% setakat ini pada suku pertama 2022 atau tahunan 6.8%.

 

Katanya, permintaan untuk kredit adalah kukuh seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan 12% dalam kelulusan pinjaman sistem perbankan bagi Januari hingga April 2022 dan pengesahan bank untuk mengukuhkan momentum perniagaan dengan pemulihan beransur-ansur di Malaysia dan pembukaan sempadan antarabangsa.
 

"Memandangkan ketidaktentuan inflasi yang meningkat, ketegangan geopolitik dan pandemik COVID-19, bank-bank masih mengekalkan panduan pertumbuhan pembiayaan mereka tahun ini sekitar 5 hingga 6%," jelasnya.

 

Selain itu, tambah firma itu, dengan mengambil kira kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) lebih awal daripada jangkaan dan kenaikan seterusnya sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022, sektor perbankan menjangkakan margin faedah bersih (NIM) yang lebih positif bagi tahun ini. - DagangNews.com