KUALA LUMPUR 26 April - RHB Investment menurunkan penarafan SP Setia Berhad kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ disebabkan keumpilan tinggi dan keuntungan rendah yang boleh menjadi sebab utama harga saham tidak berprestasi.
Firma penyelidikan itu berpendapat usaha penyahgearan mengambil masa memandangkan pelupusan petak tanah bukan teras dan pengewangan tanah yang dibangunkan melalui usaha sama adalah proses yang mengambil masa lama.
“Walaupun kami menjadi lebih positif pada sektor hartanah, kami berhati-hati dengan asas syarikat yang lemah,” tambahnya dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, penggearan bersih SP Setia berada pada 0.57 kali pada tahun kewangan 2022 (FY22) berbanding 0.61 kali pada tahun kewangan 2021 (FY21), hasil daripada kejayaan menyiapkan projek luar negara tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, rancangan melupuskan tanah kepada Scientex bernilai RM518 juta yang dibatalkan pada bulan lepas, disebabkan tidak memenuhi syarat diperlukan oleh Unit Perancang Ekonomi, menunjukkan bahawa penjualan bank tanah bukan teras adalah mencabar dan merupakan proses yang panjang.
Pengurusan juga dalam usaha untuk bekerjasama dengan beberapa pihak luar untuk bersama-sama membangunkan projek perindustrian di Tanjung Kupang di Johor dan Setia Alaman di Klang, bagi mempercepatkan pengewangan bank tanah.
“Walaupun Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Annuar Marzuki telah menetapkan sasaran penggearan bersih 0.5 kali menjelang akhir tahun, kami berpendapat ini akan sangat bergantung pada kejayaan penjualan tanah dan usaha sama,” kata firma itu sambil menambah bahawa kedua-dua faedah yang dibayar dan dividen keutamaan menelan kos aliran keluar tunai tahunan sebanyak lebih RM500 juta.
Di samping itu, firma itu bimbang mengenai kecekapan operasi syarikat akibat margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) telah menurun dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lalu, daripada sekitar 25% kepada 18% tahun lepas.
Walaupun pihak pengurusan baru mula memperkemaskan pasukan projeknya, firma itu mengambil perhatian terhadap hampir 40 projek SP Setia yang sedang berjalan secara serentak, jumlah tertinggi dalam kalangan semua pemaju di bawah liputannya.
Selain itu, pelancaran agresif mungkin menimbulkan risiko inventori yang tidak terjual, terutamanya jika beberapa pelancaran baharu tidak mendapat sambutan yang baik.
“Kami menekankan bahawa kumpulan tersebut masih mempunyai unit tidak terjual bernilai RM1.24 bilion (pada kos) dalam FY22, daripada RM1.05 bilion FY21, kebanyakannya adalah projek bertingkat tinggi di KL dan juga Johor,” jelasnya.
Dengan perubahan saranan kepada ‘neutral’, RHB Investment menurunkan harga sasaran (TP) kepada 64sen sesaham daripada RM1.48. -DagangNews.com








