KUALA LUMPUR 7 Nov - RHB Investment Bank mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Westports Holdings Bhd. dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM3.56 daripada RM3.80 sesaham sebelum ini.
Sejajar dengan semakan itu, ia mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 sebanyak 5% berikutan impak inflasi global terhadap prospek kumpulan.
Menurutnya, kumpulan sentiasa berhati-hati terhadap tekanan inflasi global yang berterusan, dasar sifar COVID-19 di China dan ketegangan geopolitik di Eropah, yang akan menyebabkan aktiviti ekonomi perlahan pada FY22.
"Oleh itu, kami mengekalkan jangkaan konservatif terhadap pertumbuhan daya pengeluaran pada suku keempat ini.
"Bagi FY23 pula, kami berubah sedikit lebih konservatif dalam jangkaan kami untuk pemulihan volum yang kukuh, mengekalkan kesedaran tentang penutupan China, dan mengambil kira daya tampung kontena intra-Asia membentuk 60% daripada jumlah volum pemindahan kapal Westports," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Westports susut 24% kepada RM150.39 juta daripada RM199.06 juta terutamanya disebabkan kos bahan api yang lebih tinggi dan pendapatan pelbagai sekali sahaja pada suku ketiga tahun lalu.
Pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM520.54 juta daripada RM504.89 juta setahun lalu, didorong oleh pertumbuhan dalam hasil konvensional.
Untuk tempoh sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022, untung bersihnya susut kepada RM464.54 juta daripada RM585.35 juta setahun sebelumnya didorong pendapatan sebanyak RM1.55 bilion berbanding RM1.52 bilion sebelumnya.
Menurut RHB Investment, prestasi Westports bagi tempoh sembilan bulan adalah memenuhi jangkaannya dengan pertumbuhan TEU susut 6% tahun ke tahun disebabkan volum penghantaran yang lebih rendah ekoran gangguan bekalan global.
"Peralihan dalam aliran penggunaan global pasca-pandemik, yang kini memihak kepada perkhidmatan (berbanding barangan), juga membawa risiko pertumbuhan volum yang semakin lemah," jelasnya.
Setakat 10.07 pagi ini, harga saham Westports menokok 5 sen atau 1.55% kepada RM3.28 dengan 12,900 saham diniagakan. - DagangNews.com








