KUALA LUMPUR 30 Mac - RHB Investment Research ‘neutral’ terhadap cadangan penempatan persendirian Coraza Integrated Technology Berhad memandangkan harga saham jangka terdekat berpotensi menurun dan menyebabkan pencairan pendapatan sesaham (EPS).
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Coraza mencadangkan penempatan persendirian sehingga 20% daripada jumlah saham terbitan yang berpotensi meningkatkan sehingga RM69.5 juta dalam beberapa peringkat yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini selepas mendapat persetujuan pemegang saham.
Kumpulan itu turut mencadangkan pelan insentif jangka panjang (LTIP) sehingga 10% daripada jumlah modal saham terbitan dalam tempoh lima tahun.
Hasil RM69.5 juta daripada penempatan tersebut diperuntukkan bagi pembelian jentera baharu (RM44.6 juta atau 64.1%), pembayaran balik hutang (RM9.9 juta atau 14.2%) dan modal kerja am (RM14.1 juta atau 20.2%), manakala selebihnya adalah untuk perbelanjaan berkaitan untuk pelaksanaan itu.
“Kami ‘neutral’ dalam cadangan itu, memandangkan potensi harga saham jangka terdekat merosot dan pencairan kepada EPS, tetapi percaya dana diperoleh untuk membiayai pengembangan dan peningkatan kemudahan boleh mempercepat dan mendapat pelbagai peluang pertumbuhan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Tambahnya, walaupun pencairan EPS berlaku, pelaksanaan tersebut membolehkan Coraza meningkatkan kapasiti dan mengembangkan keupayaan pemesinan untuk toleransi tinggi dan komponen kompleks, di samping meneroka pasaran baharu dan meluaskan pangkalan pelanggan.
Selain itu, bilik bersih dan kemudahan tambahan telah dirancang untuk pemasangan peringkat tinggi produk semikonduktor.
Menurut firma itu, pada asas proforma, pencairan EPS adalah 20% dengan mengandaikan senario maksimum sebelum mengambil kira penggunaan hasil penempatan persendirian itu, manakala aset ketara bersih boleh meningkat kepada 17 sen sesaham, manakala tunai bersih boleh meningkat kepada 15 sen daripada 2 sen pada masa ini.
Mengulas mengenai prospek kumpulan, firma itu berkata margin mungkin bertambah baik daripada kestabilan harga bahan mentah, kecekapan operasi dan gabungan produk yang menggalakkan, berserta pelaksanaan kos pengeluaran berterusan.
“Walaupun menghadapi cabaran inflasi dan permintaan yang kian lemah daripada ruang semikonduktor, terutamanya pada suku pertama tahun ini, pihak pengurusan kekal optimistik dengan berhati-hati dan akan terus meneroka peluang mengembangkan portfolio sedia ada kepada pelbagai pelanggan,” katanya.
Susulan pengumuman tersebut, RHB Investment menurunkan saranan ‘beli’ mereka kepada ‘neutral’ dengan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 87 sen daripada RM1.04. -DagangNews.com








