Revolusi Industri 4.0 pencetus usahawan pelajar masa kini | DagangNews Skip to main content

Revolusi Industri 4.0 pencetus usahawan pelajar masa kini

 

Oleh NURZAKI IKHSAN

 

REVOLUSI Perindustrian 4.0 atau IR4.0 boleh ditafsirkan sebagai pelaksanaan teknologi merangkumi Internet Benda, Data Besar, Pengkomputeran Awan, Pembuatan Bahan Tambahan (AM).

 

Bagi membantu dan mengoptimumkan proses di dalam sektor pembuatan dan sektor-sektor lain untuk mencapai keberkesanan operasi.

 

Dengan wujudnya peluang ini, maka tidak hairanlah ramai usahawan pelajar telah menceburi bidang ini dengan mengaplikasikan elemen IR4.0 sebagai model perniagaan.

 

Melihat kepada permintaan yang tinggi terhadap pembangunan rapid prototaip, syarikat AA3D Technology Sdn. Bhd yang diasaskan oleh Mohammad Azeeb Mazlan telah memilih Pembuatan Bahan Tambahan (AM) daripada salah satu tunjang utama IR4.0 sebagai konsep asas perniagaannya.

 

Berbekalkan modal RM1,000 dan sebuah mesin percetakan 3D, perniagaan beliau pada awalnya hanya tertumpu kepada cetakan komponen kecil dan pelanggan yang terhad terdiri daripada kalangan rakan-rakan.

 

Menyedari hakikat perlunya untuk mengembangkan perniagaan, beliau mengambil langkah pro-aktif untuk menjalinkan kerjasama dengan pusat penyelidikan di UiTM (Biomec) dan mengikuti pelbagai program latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED UiTM).

Mohammad Azeeb Mazlan
           Mohammad Azeeb Mazlan

 

Kerjasama dan penglibatan ini secara tidak langsung memberi pendedahan mengenai keterampilan, kolaborasi kemahiran, pemindahan pengetahuan serta kerjasama menyelesaikan masalah yang dihadapi komuniti.

 

 

azeeb
ANTARA produk yang dihasilkan menerusi mesin pencetak laser milik AA3D Technology

 

 

Dengan dorongan ini dan motto 'Ideate-Create-Design' dan 'Realising Your Big Idea', kini syarikat yang baru beroperasi hampir 2 tahun ini telah mempunyai 20 unit mesin percetakan 3D dan beberapa mesin kejuruteraan mekanikal yang lain menawarkan lagi pelbagai servis yang lain seperti Pemotongan Laser, 'CNC', reka bentuk dan pembangunan produk 3D serta pembekalan dan penyelenggaraan mesin.

 

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat ini juga lebih meluas dengan menyasarkan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai golongan, agensi dan syarikat di Malaysia.

 

Kejayaan saudara Azeeb telah memberi impak yang menyeluruh kepada persepsi usahawan pelajar yang lain. Meletakkan kejayaan tersebut sebagai sumber inspirasi, Muhamad Aidil Tasnim Roslan juga mengorak langkah yang sama dengan menceburi bidang keusahawanan yang berasaskan percetakan 3D melalui syarikatnya, AA3D Enterprise.

 

Tiada siapa sangka, pengalaman memegang jawatan sebagai Exco Keusahawanan dan Inovasi, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, telah membuka minat yang mendalam bagi Aidil Tasnim untuk berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.

 

Muhamad Aidil Tasnim Roslan
         Muhamad Aidil Tasnim Roslan

 

 

Melihat keperluan pelajar untuk menghasilkan komponen khas dalam projek sesebuah kursus ataupun projek tahun akhir dengan kos penghasilan yang tinggi, Aidil mengambil peluang ini untuk menyasarkan pelajar IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dengan menawarkan kualiti dan piawaian kemasan akhir setanding dengan industri pada harga yang berpatutan.

 

Berbekalkan kemahiran sebagai pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Aidil juga menawarkan servis perkhidmatan pembangunan reka bentuk kejuruteraan digital menggunakan perisian yang telah dipelajari semasa di dalam kuliah.

 

Sebuah lagi contoh penglibatan usahawan pelajar dalam bidang IR4.0 adalah melalui syarikat Smart Horizon yang diasaskan oleh Amir Yazid Yaakob.

 

Menurutnya, minat untuk mendalami ilmu Internet Nemda ini timbul semasa di tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda melalui projek tahun akhir.

 

Beliau juga sering kali dijemput sebagai fasilitator untuk beberapa program Latihan yang melibatkan IoT di UiTM Shah Alam.

Amir Yazid Yaakob
                Amir Yazid Yaakob

 

 

Sepanjang penubuhan syarikat, pelbagai projek konsultasi dan kolaborasi telah Berjaya diwujudkan, antaranya melibatkan pusat penyelidikan universiti, Pusat Kejuruteraan Sukan & Kecerdasan Buatan (SEA-IC UiTM), industri (MH Delima), institut dan jabatan kerajaan dan sekolah.

 

Selain itu, syarikat ini juga menawarkan perkhidmatan yang lain seperti pembangunan prototaip melalui percetakan 3D, reka bentuk sistem kawalan dan pemantauan berasaskan IoT dan pembangunan komponen khas elektronik.

 

Kesemua usahawan di atas merupakan usahawan pelajar daripada Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

 

Azeeb dan Aidil Tasneem merupakan calon bagi Ikon Usahawan Universiti 2021 yang dianjurkan oleh MASMED UiTM manakala Amir Yazid merupakan calon bagi program Universiti Startup Challenge Program 2021 anjuran Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Malaysia. – DagangNews.com

 

 

NURZAKI IKHSAN adalah Koordinator MASMED, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA Shah Alam.