KUALA LUMPUR 28 April - Reservoir Link Energy Bhd., menerusi anak syarikatnya, Reservoir Link Renewable Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan Sunseap Energy (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan memeterai lembaran terma bagi usaha sama dengan modal saham berbayar permulaan sebanyak RM1 juta.
Usaha sama itu adalah bagi membangunkan, membina dan mengendalikan projek solar PV di atas bumbung di Malaysia.
Ia akan menyaksikan kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memenuhi perjanjian pembelian tenaga (PPA) solar bernilai kira-kira 20MWp kepada usaha sama itu menjelang akhir 2023.
Reservoir Link akan memegang modal saham majoriti sebanyak 51% manakala Sunseap akan memegang baki 49%.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kerjasama ini secara strategik adalah selaras dengan matlamat kumpulan untuk penyahkarbonan dan mempercepatkan perancangan dalam menjana lebih banyak tenaga bersih.
Katanya, penyertaan Sunseep sebagai rakan strategik membolehkannya saling melengkapi dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia memandangkan pengalaman luas mereka dalam sektor tersebut.
"Kami menjangkakan bahawa segmen ini akan terus berkembang dengan baik memandangkan pembinaan projek solar 4 berskala besar (LSS4) akan bermula dan projek solar berskala besar masa hadapan.
"Ini turut disokong dengan pelancaran Skim Pemeteran Tenaga Bersih oleh kerajaan yang akan memberikan kami keupayaan untuk mengembangkan projek dalam tangan dan portfolio ladang solar, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai syarikat tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Sunseap, Frank Phuan berkata, penyertaan kumpulan dalam pasaran adalah tepat pada masanya bersama-sama dengan kepakaran Reservoir Link dalam industri RE.
"Kerjasama strategik ini akan membentuk sinergi yang kuat untuk membina dan mengendalikan projek PV solar di atas bumbung dan juga di atas tanah," katanya. - DagangNews.com








