Reservoir Link raih 4 kontrak projek solar bernilai RM7.16 juta pada Februari, Mac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link raih 4 kontrak projek solar bernilai RM7.16 juta pada Februari, Mac

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Reservoir Link Energy Bhd (Reservoir Link), penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga, telah memperoleh empat kontrak projek solar melalui anak syarikatnya, Founder Energy Sdn Bhd.

 

Kesemua kontrak yang diperoleh antara bulan Februari dan Mac 2023 secara kolektif bernilai RM7.16 juta dengan jumlah kapasiti 76.14 MWp (megawatt peak).

 

Dengan memanfaatkan kepakaran kumpulan dan rekod prestasi yang kukuh, Reservoir Link akan terlibat dalam pembangunan projek solar berskala besar serta pelbagai kemudahan penjanaan kuasa solar atas bumbung.

 

Projek-projek tersebut yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis disasarkan siap pada November 2023.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata penambahan empat kontrak tersebut membuktikan permintaan semakin meningkat untuk tenaga solar memandangkan industri mendapat lebih perhatian.

 

Tambahnya, kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan kumpulan adalah berdasarkan rekod prestasi kumpulan yang terbukti cemerlang.

 

“Kontrak ini menyerlahkan kepakaran dan keupayaan kumpulan dalam industri tenaga solar dan kami yakin ini akan membawa kepada peluang selanjutnya pada masa hadapan.

 

Kami kekal komited untuk menyediakan penyelesaian tenaga solar yang mampan dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan pelanggan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. -DagangNews.com