Redza Goh Aik Meng, Sharifatu Laila dilantik sebagai Pengarah Bursa Malaysia berkuat kuasa 27 Mac 2024 | DagangNews Skip to main content

Redza Goh Aik Meng, Sharifatu Laila dilantik sebagai Pengarah Bursa Malaysia berkuat kuasa 27 Mac 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Bursa Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Redza Goh Aik Meng dan Sharifatu Laila Syed Ali sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa 27 Mac 2024.

 

Redza memiliki pengalaman luas menjangkau 39 tahun dalam Teknologi Maklumat (IT) dan pendigitalan, dengan tumpuan kepada memacu perniagaan dan transformasi organisasi dan beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Digital dan Teknologi untuk Dialog Bhd sehingga Februari 2023. 

 

Sebelum itu, beliau merupakan Naib Presiden dan Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan Petronas, di mana beliau mengetuai inisiatif digital dan IT.

 

Beliau menghabiskan sebahagian besar masanya di Accenture, sebelum bersara sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Accenture Malaysia pada 2014 selepas 26 tahun berkhidmat.

 

Sementara itu, Sharifatu Laila menyertai semula lembaga pengarah dengan pengalamannya dalam pengurusan pelaburan dan pasaran modal. 

 

Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Kepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Berhad dari 1 Oktober 2020 hingga 16 Ogos 2023.

 

Dengan kerjaya melebihi 30 tahun, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam institusi kewangan Malaysia yang terkenal, termasuk peranan di Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Lembaga Tabung Haji. Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif ValueCap dari 2002 hingga 2018.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pelantikan mereka sebagai pengarah bebas bukan eksekutif menandakan usaha pihaknya bagi mengukuhkan kepakaran serta kepelbagai ahli lembaga seiring kemajuan Bursa Malaysia.

 

Beliau berkata, kerjaya cemerlang Redza dalam IT dan transformasi digital akan memberi manfaat kepada mereka kerana Bursa Malaysia akan meningkatkan usaha bagi mencapai kecekapan menerusi pendigitalan dan teknologi baharu.

 

Katanya, kehadiran semula Sharifatu Laila akan membantu lembaga dengan pengalaman luasnya dalam pengurusan pelaburan dan pasaran modal.

 

"Kepakarannya terhadap keutamaan strategik Bursa Malaysia, digabungkan dengan perspektif baharu adalah sejajar dengan hasrat kami untuk benar-benar memenuhi tujuan firma ini.

 

"Kami yakin Bursa Malaysia dipandu oleh lembaga yang kukuh dan komited untuk membantu menggerakkan firma ini ke dalam landskap pasaran yang lebih kompetitif selain mendorong kami ke arah inovasi, kampanan dan kecemerlangan pasaran modal," katanya. - DagangNews.com