Raymond Lew dipilih semula sebagai Presiden LIAM bagi penggal 2024/2025 | DagangNews Skip to main content

Raymond Lew dipilih semula sebagai Presiden LIAM bagi penggal 2024/2025

Raymond Lew (kiri) dipilih semula selaku Presiden LIAM dan Ben Ng (kanan) dilantik sebagai Naib Presiden semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 baru-baru ini. - Foto/Persatuan Insurans Hayat Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Mac - Raymond Lew dipilih semula selaku Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 yang berlangsung pada 27 Mac 2024.

 

LIAM berkata, Raymond yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Sun Life Malaysia Assurance Bhd (SLM) akan dibantu oleh CEO AIA Bhd, Ben Ng yang dilantik sebagai naib presiden baharu bagi penggal 2024/2025.

 

"Beliau merupakan seorang pemimpin yang mempelopori dan mengembangkan pengedaran, pemasaran dan analisis SLM, memacu pengalaman pelanggan dan agenda transformasi digital.

 

"Beliau mengemudi pengembangan rangkaian kerjasama, pembangunan pakar insurans, dan saluran pengedaran yang lain, yang membawa transformasi kepada perniagaan syarikat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Raymond menyertai SLM sebagai ketua pegawai pengedaran pada 2013, kini  mempunyai pengalaman dalam kewangan lebih 30 tahun sebagai CEO dan presiden syarikat. 

 

Beliau juga berkhidmat sebagai ketua negara, menyelia operasi perniagaan kewangan SLM di Malaysia dan ahli penting jawatankuasa eksekutif SLM.

 

Sementara itu, Ben yang menyertai AIA pada 2011 dan dilantik mengetuai syarikat itu pada 15 Ogos 2019, memiliki pengalaman yang luas selama 30 tahun dalam industri insurans hayat.

 

“Ben antara pakar perkiraan risiko Asia yang berkelayakan sebagai felo Persatuan Aktuari dan Persatuan Aktuari Casualty.

 

"Beliau juga telah mengetuai AIA untuk mencapai pertumbuhan transformasi merentas saluran pengedarannya, disokong oleh keupayaan digital tersendiri syarikat dan cadangan kesihatan dan kekayaan yang inovatif serta berpusatkan pelanggan," kata pesatuan itu.

 

Menurut LIAM, Ben juga pernah memegang jawatan termasuk pengarah pembangunan perniagaan serantau, CEO penyelesaian korporat kumpulan, dan Pengarah Presiden AIA Financial Indonesia. - DagangNews.com