Ratifikasi CPTPP mudahkan pemulihan ekonomi pasca pandemik - IDEAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ratifikasi CPTPP mudahkan pemulihan ekonomi pasca pandemik - IDEAS

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Okt - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) akan membantu menghidupkan semula aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dalam situasi pemulihan ekonomi daripada pandemik dan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) tradisional, CPTPP melangkaui menyediakan capaian pasaran hanya untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan sahaja.

 

Ini kerana katanya, perjanjian itu menyasarkan untuk menyediakan piawaian berkualiti tinggi berkenaan permasalahan seperti perusahaan milik negara (SOE), perolehan awam, alam sekitar dan buruh.

 

"IDEAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutama para perunding daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas pencapaian yang ditunggu-tunggu ini. 

 

"Kami menantikan untuk melihat bagaimana perjanjian perdagangan ini akan merangsang produktiviti ekonomi negara dalam jangka sederhana sehingga jangka panjang, khususnya untuk meletakkan piawaian yang tinggi dalam ekonomi kita di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.  

 

 

Tricia Yeoh
TRICIA YEOH

 

 

CPTPP merupakan sebuah perjanjian perdagangan bebas mega melibatkan 11 buah negara anggota merentasi Lingkungan Pasifik. 

 

Pada 2019, ekonomi negara anggota CPTPP secara kolektif merangkumi 13% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. 

 

Baca : Kabinet setuju Malaysia meratifikasi CPTPP

 

Sebelum ini, Malaysia telah menyertai langkah asal perjanjian ini, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), pada pusingan ketiga perundingan pada Oktober 2010. 

 

Berikutan pusingan ke-19 dan terakhir perundingan pada 2013, TPP yang asal akan dimuktamadkan, dengan Malaysia kemudiannya menandatangani perjanjian itu pada Februari 2016 bersama-sama 11 negara anggota pengasas yang lain. 

 

Apabila Amerika Syarikat (AS) menarik diri pada awal 2017, 11 baki negara anggota telah bersidang pada Mei 2017 di luar Mesyuarat APEC MRT di Hanoi, Vietnam untuk membuat penegasan tentang kepentingan TPP. 

 

Sebanyak 11 negara anggota ini kemudiannya bertemu dalam beberapa pusingan untuk mencari jalan agar dapat melaksanakan TPP tanpa AS.  

 

Akhirnya, telah dipersetujui bahawa TPP akan digantikan dengan CPTPP, yang Malaysia menjadi penandatangan pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chile. 

 

 

Juita Mohamed
JUITA MOHAMAD

 

 

Walaupun isi kandungan utama perjanjian asal kebanyakannya dikekalkan, terdapat 22 peruntukan TPP yang telah digantung atau diubah dalam CPTPP. 

 

Berkenaan penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS) terutamanya, dalam CPTPP pelabur asing tidak lagi boleh melakukan tuntutan ISDS kerana melanggar kontrak pelaburan swasta dengan Kerajaan, atau kebenaran pelaburan.

 

Dalam perjalanan Malaysia untuk meratifikasi CPTPP, beberapa undang-undang telah diluluskan sejak tahun 2018. Sembilan daripada 14 akta di peringkat persekutuan yang berkaitan dengan CPTPP telah diluluskan di Parlimen. 

 

Baki lima akta dan ordinan, iaitu Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga telah dibentangkan di Parlimen untuk pindaan.

 

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan IDEAS, Dr Juita Mohamad berkata, dengan data yang terhad, data kuantitatif dan kualitatif awal rakan kongsi yang telah meratifikasi CPTPP menunjukkan arah aliran positif ke atas eksport, import dan pelaburan lapangan hijau setakat ini berdasarkan penemuan awal yang dikongsikan di Persidangan Penyelidikan Institut Daya Saing Asia mengenai Menilai Kesan CPTPP.

 

“Walaupun ratifikasi perjanjian menandakan satu peristiwa penting, penilaian berterusan ke atas kesan CPTPP di lapangan perlu dilakukan di dalam negara dan dalam kalangan ahli CPTPP. 

 

"Sokongan tambahan juga diperlukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan daya saing mereka supaya mereka boleh mengambil bahagian dengan berkesan dalam rantaian bekalan," jelasnya. -DagangNews.com