Rangkaian 5G Malaysia raih pengiktirafan global Anugerah Glotel di London | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rangkaian 5G Malaysia raih pengiktirafan global Anugerah Glotel di London

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - Rangkaian 5G Malaysia telah meraih pengiktirafan di peringkat global pada Anugerah Glotel berprestij di London, United Kingdom yang memperakui kecemerlangan dan inovasi dalam memajukan dan mentransformasikan telekomunikasi.

 

Para pemenang diumumkan di majlis anugerah global tersebut di London yang mana penyertaan bersama Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah memenangi kategori ‘Vendor Terbaik Inovasi 5G’.

 

Ia diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membangunkan teknologi atau perkhidmatan 5G baharu terbaik yang bukan sahaja meningkatkan penanda aras 5G malah turut mempamerkan sumbangan yang ketara terhadap kemajuan 5G secara keseluruhan.

 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, penyertaan yang memenangi anugerah tersebut adalah bagi ‘Rangkaian Teras Operator Berbilang dan Pemetakan Sumber Dinamik untuk Rangkaian 5G Borong Nasional.’

 

Beliau berkata, rangkaian 5G DNB merupakan rangkaian komersial pertama di dunia yang menggunakan Pemetakan Sumber Radio Dinamik (DRP) iaitu sebuah penyelesaian Penghirisan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G daripada Ericsson.

 

Katanya, penyelesaian tersebut membolehkan kesemua enam operator telekomunikasi yang berkongsi rangkaian DNB untuk menawarkan perkhidmatan 5G tersuai agar mencapai kelajuan terbaik yang memberikan pilihan tanpa kompromi keada pengguna selain memacu nilai rangkaian 5G sebagai sebuah platform inovasi.

 

"Teknologi DRP adalah pelengkap kepada Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) yang turut digunakan pada rangkaian 5G DNB yang membolehkan operator berkongsi sumber radio dengan wajar tanpa menjejaskan kualiti pada waktu sibuk dan menawarkan kelainan kepada pengguna masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, kemampuan perkongsian aktif tersebut juga bakal memaksimumkan penggunaan spektrum dan seterusnya mendorong kepada kos perkhidmatan 5G yang lebih rendah di negara kita, sekali gus mempercepatkan penerimagunaan dan transformasi digital.

 

Anugerah Glotel merupakan salah satu contoh komitmen Ericsson dan DNB untuk menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia yang mampu milik kepada rakyat Malaysia di samping pengalaman pengguna bertaraf dunia dan keselamatan yang mempercepatkan transformasi digital selain mewujudkan destinasi menarik untuk pelaburan asing yang mana memerlukan ketersambungan selamat dan utuh dalam operasi dan pembuatan.

 

Tambahnya, kehadiran 5G bukan sahaja dapat mempertingkatkan gaya hidup digital pengguna dari segi permainan, penstriman, penjagaan kesihatan dan pendidikan, malah memberikan keyakinan kepada perusahaan dalam memperluaskan penggunaannya sebagai contoh, dalam perlombongan, logistik dan pertanian.

 

“Kami juga berharap dapat menawarkan inovasi dan teknologi terkini ke Malaysia di samping mencapai lebih banyak perkembangan penting yang mengukuhkan daya saing dan mempercepat perjalanan menuju Negara Digital,” katanya. - DagangNews.com