KUALA LUMPUR 2 Mac - Rangkaian 5G Digital Nasional Bhd. (DNB) akan menjadi rangkaian komersial pertama di dunia yangmenggunakan Pembahagian Sumber Radio Dinamik (DRP) Ericsson, iaitu penyelesaian penghirisan (berbilang rangkaian pada satu infrastruktur) Rangkaian Akses Radio (RAN).
DRP itu membolehkan 6 pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mencapai perkhidmatan 5G tersuai dengan prestasi terjamin dan memastikan setiap MNO membezakan tawarannya kepada pengguna pada rangkaian 5G yang dikongsi.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, penggunaan DRP tersebut membuktikan komitmen Ericsson untuk menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia di Malaysia.
Katanya, penyelesaian penghirisan adalah ciri utama dalam pelaksanaan 5G dan Ericsson mempunyai penglibatan penghirisan rangkaian 5G yang berterusan untuk RAN, pengangkutan, rangkaian teras dan orkestrasi di seluruh dunia.
"Setiap MNO yang berkongsi rangkaian DNB mempunyai akses kepada aset spektrum penuh bagi mencapai kelajuan terbaik, dan pada masa sama memastikan spektrum terkumpul digunakan dengan cekap dan dimaksimumkan dalam kalangan MNO lain.
"Penyelesaian Ericsson secara optimum menyediakan setiap MNO untuk memastikan pengalaman pengguna akhir yang baik.
"Ini secara tidak langsung membolehkan setiap MNO menawarkan perkhidmatan yang memenuhi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) serta menyediakan sumber terjamin," katanya dalam kenyataan hari ini.
RAN Penghirisan memberikan MNO perbezaan dan menjamin prestasi yang diperlukan untuk mengewangkan pelaburan 5G dengan penggunaan pelbagai, yang memacu nilai kepada rangkaian dengan 5G sebagai platform inovasi.
Apabila pasaran 5G semakin matang, DRP tersebut akan menetapkan asas untuk penghirisan hujung ke hujung dan membolehkan MNO menawarkan penggunaan yang menjana hasil yang inovatif dan tinggi. - DagangNews.com








