Ranger Wildtrak raih anugerah emas trak pikap tahunan People's & Editors' Choice Awards 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ranger Wildtrak raih anugerah emas trak pikap tahunan People's & Editors' Choice Awards 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia meraih anugerah emas bagi 'Trak Pikap Tahunan' melalui Ranger Wildtrak generasi baharu bagi People’s & Editors’ Choice Awards 2022 anjuran Carlist.my. 

 

Ini adalah kali ketiga berturut-turut sejak 2019 Ford yang memenangi pelbagai anugerah telah menerima undian tertinggi daripada rakyat Malaysia dalam People’s Choice Awards.

 

Pengarah Urusan SDAC-Ford, Turse Zuhair berkata, pihaknya berbangga dipilih sebagai trak pikap paling popular oleh rakyat Malaysia, yang menjurus kepada kemenangan anugerah emas bagi tiga tahun berturut-turut. 

 

"Sebagai sebuah kenderaan gaya hidup pelbagai guna yang diingini ramai, Ford Ranger WildTrak generasi baru terus menjadi trak pikap pilihan ramai pengguna di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ranger Wildtrak sarat dengan kelengkapan canggih serta teknologi keselamatan termaju dalam kelasnya, termasuk paparan skrin sentuh 12-inci di tengah dengan sistem infotainmen SYNC® 4A.

 

Trak pikap generasi baharu itu tampil lebih menawan dan mengekalkan penggayaan maskulin yang kental. 

 

Rekaan dalaman juga telah dirombak untuk memberikan suasana dan kualiti premium seperti sebuah sedan.

 

 

ford

 

 

Pencalonan bagi People’s & Editors’ Choice Awards 2022 anjuran Carlist.my adalah daripada model baharu yang dilancarkan dari 1 Jun 2021 sehingga 30 September 2022, melalui pilihan ramai setiap jenama dan berdasarkan data jualan serta kekerapan sebutan jenamanya sepanjang tahun. 

 

Bagi People’s Choice Awards, pengguna diminta untuk mengundi tiga model kenderaan teratas bagi setiap kategori. 

 

Proses undian didokumentasikan dan dinilai oleh auditor dalaman Carlist untuk memastikan ketepatan data dan proses penilaian yang adil. - DagangNews.com