KUALA LUMPUR 10 Nov - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia minggu lalu telah dianugerahkan Trak Pikap Gaya Hidup Terbaik bagi Ranger WildTrak oleh CarSifu Editors’ Choice Awards 2022.
Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, mereka sangat berbangga untuk menerima pengiktirafan ini daripada Carsifu.
"Anugerah terbaharu ini tidak hanya menambahkan lagi gelaran yang sudah pernah diraih oleh Ranger, tetapi juga satu bentuk pengesahan terhadap bagaimana Ranger WildTrak terus mendahului sebagai sebuah trak yang versatil dan premium, yang dibeli atas tujuan gaya hidup yang memacu keinginan ramai orang untuk memilikinya.
“Ford jelas sekali memberikan pelbagai nilai terhadap barisan Ranger generasi baharu ini untuk mengilhami pemiliknya agar melakukan lebih banyak hal-hal yang mereka minati, dengan ciri yang menggalakkan mereka untuk meneroka kemungkinan baru, sama ada untuk tujuan kerja, keluarga atau riadah.
"Ramai menginginkan gaya hidup yang dibawakan oleh Ranger, terutamanya melalui Live the Ranger Life bersama individu lain yang berkongsi minat sama. WildTrak generasi baharu merupakan kenderaan serba boleh untuk tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Direka semula dari awal, Ranger WildTrak generasi terbaharu ini tampil lebih kemas dan diperhalusi setiap inci rekaannya, dan dalam masa yang sama masih nampak gagah dengan gaya yang menonjol.
Hal ini diperkayakan lagi oleh aspek pemanduan dan kendalian yang lebih baik untuk memastikan keselesaan seperti kereta penumpang biasa, walaupun ketika ia membawa beban atau melalui permukaan mencabar.

Rekaan dalaman pula diberikan rekaan baharu yang lebih segar untuk membawakan rasa lebih premium seperti sebuah kereta sedan dari segi suasana dan kualitinya.
Dilengkapi dengan barisan teknologi canggih, ciri utama yang ada antaranya paparan skrin sentuh besar 12-inci yang digandingkan bersama sistem infotainmen SYNC® 4A, kluster instrumen digital baharu dan ciri pemanduan pintar.
Calon bagi CarSifu Editors’ Choice Awards 2022 disenarai pendek berdasarkan kenderaan yang dilancarkan antara 1 Januari 2021 hingga 30 September 2022.
Semua kenderaan itu dinilai dari aspek keselamatan, prestasi, keselesaan, penjimatan bahan api, kendalian dan penggayaan, serta faktor “wow” yang unik dari setiap satunya. - DagangNews.com








