Ramai beli emas, untung bersih Poh Kong naik tiga kali ganda kepada RM15.67 juta pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramai beli emas, untung bersih Poh Kong naik tiga kali ganda kepada RM15.67 juta pada suku pertama

Prestasi lebih baik itu didorong permintaan yang semakin meningkat bagi barangan kemas dan pelaburan produk emas. - Gambar : Facebook Poh Kong
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Dis – Untung bersih Poh Kong Holdings Bhd. bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM15.67 juta daripada RM5.42 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM370.36 juta berbanding RM175.29 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Prestasi lebih baik itu didorong permintaan yang semakin meningkat bagi barangan kemas dan pelaburan produk emas seiring dengan pemulihan semula ekonomi.

 

Ia menyaksikan hasil lebih tinggi pada suku semasa berbanding tempoh sama tahun lalu yang terjejas akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

 

Keadaan itu menyebabkan operasi perniagaan kumpulan hanya dibenarkan dibuka semula pada 16 Ogos 2021. 

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih susut 47% daripada RM29.83 juta yang direkodkan pada suku keempat berakhir 31 Julai 2022 apabila pendapatan menurun 11% daripada RM414.66 juta.

 

Mengenai prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), Poh Kong berkata, kumpulan akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa operasi, memenuhi kewajipan kewangan dan menilai prestasi secara berterusan.

 

Ia menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun semasa, didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam penggunaan.

 

"Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, lembaga pengarah yakin kumpulan telah mengambil langkah sewajarnya bagi memenuhi cabaran akan datang dalam mengharungi FY23," katanya. - DagangNews.com