KUALA LUMPUR 6 Julai - Rakuten Trade Research positif terhadap masa depan Kerjaya Prospek Group Berhad memandangkan ia mempunyai prospek kukuh dan hasil yang menarik.
Menurut firma penyelidikan itu, pemaju hartanah tersebut telah memperoleh projek baharu bernilai lebih RM937.8 juta, menjadikan jumlah buku pesanannya kepada RM4.7 bilion tahun setakat ini, memberikan keterlihatan pendapatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan membayar dividen sebanyak 8sen dan 8.5sen untuk FY23 dan FY24, masing-masing diterjemahkan kepada hasil sebanyak 7.3% dan 7.8%. Kunci kira-kira syarikat kukuh dengan tunai bersih sebanyak RM260.2 juta pada 1QFY23," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, firma itu berkata Kerjaya Prospek turut merancang untuk melancarkan dua projek iaitu The Vue @ Monterez dan Papyrus North Kiara menjelang separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).
Rakuten Trade mengekalkan unjuran pendapatan FY23 dan FY24 masing-masing pada RM139.2 juta dan RM167 juta disebabkan oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi.
Jelasnya, kumpulan itu menyasarkan kemenangan kerja pembinaan antara RM1.2 sehingga RM1.5 bilion untuk tahun kewangan 2023 (FY23) dan pada masa ini, ia mempunyai buku tender berjumlah RM1.5 sehingga RM2 bilion.
Di samping itu, usaha sama Samsung dan Kerjaya Prospek telah menerima surat anugerah daripada Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd bernilai RM1.45 bilion pada Oktober 2022 untuk pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Berendam di Zon Perdagangan Bebas Melaka.
“Kekurangan tenaga kerja dijangka dapat diselesaikan dengan kemasukan 1,500 pekerja asing pada 2023 yang akan meningkatkan tenaga kerjanya kepada kira-kira 3,000. Di samping itu, syarikat itu bercadang menambah 1,000 pekerja tambahan, menjadikan jumlah tenaga kerja seramai 4,000 pekerja,” tambahnya.
Firma itu menyarankan ‘beli’ saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran (TP) RM1.76 sesaham.
Jelasnya, saranan tersebut berdasarkan: (i) rumusan pembinaan inovatif dan struktur kos cekap yang menghasilkan margin keuntungan melebihi purata; (ii) penglibatan pasukan pengurusan dengan rekod prestasi yang terbukti berjaya dalam pelaksanaan; (iii) keupayaannya memenangi pekerjaan luar secara konsisten; dan (iv) buku pesanan tertunggak kukuh sebanyak RM4.7 bilion.
Pada waktu penulisan, saham Kerjaya Prospek kekal pada harga pembukaan dagangan hari ini pada RM1.10 dengan modal pasaran sebanyak RM1.39 bilion. - DagangNews.com








