Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov - Perolehan kontrak baharu Dialog Bhd. akan merintis lebih banyak projek bagi kumpulan pada tahun hadapan sekali gus mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan, menurut MIDF Research.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, pada Rabu, anak syarikat milik penuhnya, Dialog E & C Sdn. Bhd. (DECSB) menandatangani kontrak EPCC dengan PRPC Utilities & Facilities Sdn. Bhd. bagi kontrak bernilai RM248 juta.
Kontrak tersebut membabitkan penyediaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) Projek Kemudahan Had Bateri Luar Lateks Butadiena Nitril Titanium untuk Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Pengerang, Johor.
Firma itu melihat prestasi Dialog begitu konsisten terutama operasi penyelenggaraan dan tangki terminal bukan kitaran serta memperoleh bidaan baharu, yang membuktikan kumpulan mempunyai keupayaan mengekalkan kapasiti pada tahun kewangan 2022 (FY22).
"Meskipun projek ini datang dengan beberapa risiko antaranya, ketersediaan tenaga mahir dan bahan binaan, ketidaktentuan harga bahan binaan dan perubahan politik, ekonomi, pasaran kewangan dan kawal selia, tetapi Dialog akan terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi meminimumkan faktor risiko.
"Oleh itu, dengan perolehan kontrak baharu ini, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada anggaran hasil Dialog bagi FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.
Penyedia perkhidmatan teknikal dalam industri minyak, gas dan petrokimia itu berkata, DECSB akan membina talian kesalinghubungan dan utiliti yang diperlukan dan kemudahan loji rawatan efluen baharu di PIC sebagai sebahagian daripada program pertumbuhan PRPC Utilities & Facilities.
Projek ini akan dimulakan dengan segera dan dijangka siap pada suku kedua 2023. Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Dialog bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan seterusnya sehingga projek itu siap.
Melihat kepada prospek positif Dialog, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Dialog dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.65.
"Kami terus menilai prospek jangka panjang Dialog dengan positif setelah mengambil kira struktur perniagaan dan sumbangannya yang kukuh kepada Dialog Pengerang dan Terminal Tanjung Langsat.
"Ditambah dengan jangkaan permintaan bekalan minyak mentah dan gas asli yang seimbang pada FY22, dan seterusnya dengan lebih banyak kontrak bagi operasi dan penyelenggaraan loji, kami percaya prestasi kewangan Dialog akan kekal meningkat pada masa hadapan," jelasnya.
Setakat 9.20 pagi, saham Dialog menokok 1 sen atau 0.35% kepada RM2.88 dengan 233,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








