Quantela, MAP2U lancar platform berpusat balai cerap bandar dan perkhidmatan bandar pintar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Quantela, MAP2U lancar platform berpusat balai cerap bandar dan perkhidmatan bandar pintar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Quantela Inc, dan MAP2U menjalin kerjasama strategik melancarkan penyelesaian bersepadu untuk balai cerap bandar serta perkhidmatan bandar pintar untuk PLANMalaysia, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Fasa pertama projek itu termasuk mewujudkan satu platform berpusat bagi menyatukan balai cerap bandar serta perkhidmatan rakyat digital dan disepadukan dengan komponen internet pelbagai benda (IoT) dan bukan IoT merentasi 6 majlis perbandaran.

 

Ia membolehkan pihak berkuasa mengakses cerapan dan analisis data tanpa had pada satu papan pemuka. Fasa-fasa berikutnya menyasarkan pelancaran di 155 majlis bandar raya di seluruh Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Quantela, Amr Salem berkata, mereka menyaksikan satu cita-cita besar menerusi kerjasama dengan MAP2U dalam projek penyelesaian perkhidmatan rakyat yang pertama di Malaysia.

 

Beliau berkata, platform teknologi Quantela membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengumpul, mengawal data dan mengambil keputusan untuk meningkatkan kualiti hidup.

 

"Ia juga memupuk pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran yang lestari dan selamat, serta membudayakan amalan pengurusan bandar yang cekap," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Map2U Sdn Bhd, Datuk Azhar Ismail pula berkata, pihaknya yakin kerjasama Quantela akan membawa nilai tanpa had kepada PlanMalaysia dengan mengangkat Standard Indikator Bandar Pintar ISO 37122 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Balai Cerap Bandar Malaysia (MUO).

 

 

quantela
                                                 Amr Salem

 

 

Katanya, penyelesaian yang dibina atas platform Quantela akan membawa hasil positif dalam menyelaras dan memantau pelan pembangunan bandar.

 

"Penyelesaian itu akan memperkasakan semua pihak berkepentingan dengan data masa sebenar, serta membantu komuniti membudayakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk negara kita," katanya. - DagangNews.com