KUALA LUMPUR 21 Jun - Menjalin kerjasama dengan TM One, Pusat Perubatan ParkCity (PMC) di bawah naungan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) mengumumkan pelancaran Wad i-Kiddo yang dilengkapi ciri-ciri suite pintar untuk pesakit.
Ia bertujuan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan memastikan pengalaman keseluruhan lebih baik untuk pesakit dan keluarga mereka.
Wad berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif pendigitalan PMC yang memanfaatkan rumusan penjagaan kesihatan digital dalam merevolusikan pengalaman penjagaan pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif PMC, Peter S Kasinathan berkata, menerusi kerjasama dengan TM One, pihaknya berbangga untuk menjadi hospital pertama memanfaatkan rumusan suite pesakit pintar di Wad i-Kiddo inovatif mereka.
"Dengan menerapkan teknologi digital, kami merevolusikan pengalaman penjagaan kesihatan ibu bapa dan keluarga mereka di hospital ini. Ia melambangkan pencapaian penting dalam perjalanan pendigitalan kami," katanya dalam kenyataan.
Turut hadir dalam pelancaran itu, CEO Kumpulan RSDH, Peter Hong; Ketua Pegawai Operasi RSDH, Wong Ching Yee dan Naib Presiden Jualan Perusahaan TM One, Nora'zam Jaafar.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim pula berkata, rumusan inovatif ini akan menyediakan pengalaman penjagaan yang memberi keutamaan kepada pesakit yang lebih baik dengan meletakkan pesakit sebagai teras kepada perjalanan kesihatan mereka.
"Menerusi integrasi 'internet of things' (IoT), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, RSDH berada di barisan hadapan dalam inovasi penjagaan kesihatan.

"Kerjasama ini akan merevolusikan bidang penjagaan pesakit dan menambah baik pengalaman pesakit di hospital menerusi penggunaan teknologi terkini. Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam membentuk masa hadapan penjagaan kesihatan," katanya.
Wad i-Kiddo adalah wad pediatrik baharu PMC yang dilengkapi dengan keupayaan canggih yang dipacu oleh teknologi IoT dari segi automasi dan kawalan sekeliling.
Ia direka untuk meningkatkan keselesaan pesakit, memperkemas aktiviti penjagaan kejururawatan dan menyediakan keselesaan buat ibu bapa dan penjaga.
Dalam usaha pendigitalannya secara berterusan, PMC sudah melaksanakan sistem giliran pintar untuk perkhidmatan pesakit luar bagi memastikan aliran pesakit yang lancar dan cekap.
Untuk perancangan masa hadapan, hospital tersebut mempunyai beberapa inisiatif penjagaan kesihatan digital yang lain.
Ia termasuklah wad inovatif yang membolehkan pesakit menggunakan terminal di sisi katil untuk memesan makanan, memantau ubat-ubatan dan mengakses maklumat rawatan peribadi. - DagangNews.com








