Pulau Pinang catat nilai eksport paling tinggi pada Februari berjumlah RM5.7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulau Pinang catat nilai eksport paling tinggi pada Februari berjumlah RM5.7 bilion

KUALA LUMPUR 12 April - Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2022 meningkat 17.5% tahun ke tahun kepada RM184.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport pada bulan tersebut mencatat RM102.3 bilion, meningkat 16.8% tahun ke tahun manakala import bernilai RM82.5 bilion (meningkat 18.4% tahun ke tahun).

 

Katanya, peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang dengan RM3.1 bilion diikuti Selangor (RM2.7 bilion), Johor (RM1.7 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Sarawak (RM1.2 bilion) dan Kuala Lumpur (RM972.5 juta).

 

Ia turut meningkat di Pahang dengan RM806.6 juta diikuti Terengganu (RM578.3 juta), Negeri Sembilan (RM449.2 juta), Sabah (RM273.5 juta) dan Perlis (RM18.2 juta).

 

“Bagaimanapun, import susut di Melaka (RM563.5 juta), Perak (RM452.4 juta), Kelantan (RM57 juta) dan Labuan (RM5.6 juta),” katanya dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Februari 2022 yang dikeluarkan hari ini.

 

Mengulas prestasi eksport mengikut negeri, beliau berkata, eksport pada Februari 2022 meningkat sebanyak RM14.7 bilion (16.8%) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

Eksport lebih tinggi direkodkan oleh kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM5.7 bilion), Sarawak (RM3 bilion), Kedah (RM2.2 bilion), Labuan (RM1.6 bilion), Selangor (RM1.5 bilion) dan Sabah (RM1.2 bilion).

 

Johor turut menyaksikan eksport lebih tinggi sebanyak RM1.1 bilion diikuti Kuala Lumpur (RM1 bilion), Pahang (RM103.8 juta) dan Perlis (RM23.9 juta).

 

“Namun, eksport menyusut di Melaka (RM1.2 bilion), Perak (RM1.1 bilion), Terengganu (RM320.2 juta), Kelantan (RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (RM31.7 juta),” katanya.

 

Mohd. Uzir berkata, antara 5 negeri pengimport utama, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 26.3%, diikuti Pulau Pinang (23.1%), Johor (20.2%), Kuala Lumpur (7.1%) dan Kedah (6.2%).

 

Bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 29.6% diikuti Selangor (19.3%), Johor (18.7%), Sarawak (8.2%) dan Kedah (4.8%). - DagangNews.com