PublicInvest Research unjur peningkatan pengeluaran sehingga 30% untuk D&O Green Technologies untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest Research unjur peningkatan pengeluaran sehingga 30% untuk D&O Green Technologies untuk FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - PublicInvest Research mengunjurkan peningkatan kapasiti pengeluaran antara 20% ke 30% untuk produk keluaran D&O Green Technologies selepas kumpulan itu memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM150 juta untuk FY22 bagi pemasangan mesin baharu bagi penghasilan produk LED pada suku kedua.

 

Selepas mengambil kira peningkatan kapasiti pengeluaran, firma penyelidikan itu menjangkakan momentum pendapatan kumpulan itu akan kekal pada 1H2022 selain berkeyakinan untuk melihat perkembangan dua digit pada FY22.

 

"Berdasarkan kepada garis masa, kilang kedua bersaiz 25,000 meter persegi yang berpotensi menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun dijangka siap untuk digunakan sepenuhnya pada 2025.

 

"Kilang itu memiliki kapasiti pengeluaran sekurang-kurangnya 400 juta LED sebulan manakala pembinaan kilang ketiga dengan keluasan 35,000 meter persegi dengan ketinggian 10 tingkat dengan kos RM200 juta akan mula dibangunkan pada 4Q22 dan sedia untuk beroperasi pada penghujung 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk mengeluarkan lima rangkaian produk luaran baharu selain tujuh produk dalam LED baharu yang masih berada dalam fasa rekaan.

 

Produk berkenaan termasuk lampau badan kedneraan yang sesuai untuk kegunaan pada waktu siang, lampu hadapan dan belakang kederaan selain Infra Red LED (IR LED), lampu pengecaman gambar dan penderiaan cahaya ambien untuk aplikasi dalaman merupakan sasaran jangka panjang mereka.

 

Firma penyelidikan itu memahami bahawa lampu IR LED yang direka untuk aplikasi dalam kenderaan akan menyediakan kawalan isyarat untuk kemudahan dan pemantauan aktiviti kabin dalaman, terutamanya keadaan pemandu dan penumpang.  

 

"Kami mendapati lebih banyak pembuat kenderaan dari Jerman, Korea Selatan, Jepun, China Amerika Syarikat (AS) mula menunjukkan minat untuk menggunakan LED pintar yang dikeluarkan kumpulan itu," katanya.

 

Firma itu berkata, sebagai usaha untuk menangani gangguan rantaian bekalan, kumpulan itu sudah mendapatkan bahan mentah untuk kegunaan sejak tiga bulan lalu dan mereka memberi jaminan bahawa ia mencukupi sehingga tiga bulan dengan bekalan daripada lima hingga 10 pembekal berbeza.

 

"Dari segi kos bahan, terdapat sedikit perubahan kerana mereka mendapatkan lebih banyak pembekal pada harga lebih kompetitif," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' untuk saham D&O Green Technologies pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM6.36. - DagangNews.com