PublicInvest pesimis terhadap prospek pemulihan jangka pendek Sapura Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest pesimis terhadap prospek pemulihan jangka pendek Sapura Energy

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) kekal pesimis terhadap prospek pemulihan jangka pendek Sapura Energy Berhad meskipun memiliki kadar tempahan mencecah RM5.6 bilion.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu baru-baru ini berjaya meraih sejumlah RM1.4 bilion dalam segmen E&C, menjadikan buku pesanan semasanya kepada RM5.6 bilion.

 

Bagaimanapun, firma itu menganggap kekangan mudah tunai kumpulan itu kekal sebagai cabaran utama dalam melaksanakan projek.

 

Sebagai contoh katanya, kumpulan itu hanya berjaya menukar RM54.4 juta aliran tunai daripada aktiviti operasi daripada RM331.5 juta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada 1QFY24.

 

"Disebabkan kedudukan kewangannya, kumpulan mungkin mempunyai akses terhad untuk mendapatkan modal kerja dan jaminan bank untuk pelaksanaan projek.

 

BACA JUGA: Sapura Energy catat untung bersih RM146 juta pada 1QFY24, peningkatan 58% berbanding tahun lalu

 

"Bagi membantu mengurangkan tekanan ketika ini, kami mendapati bahawa kumpulan bergantung pada syarat kredit daripada vendor dan beberapa pelanggan menyediakan pendahuluan untuk memastikan kejayaan menyiapkan projek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, tidak termasuk keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak RM217.6 juta, kumpulan itu melaporkan kerugian bersih teras sebanyak RM71.5 juta pada 1QFY24, mengecil sebanyak 75% dari suku tahun ke suku tahun.

 

Ia disebabkan oleh ketiadaan rosot nilai muhibah untuk SapuraOMV, walaupun kadar penggunaan pelantar penggerudian dan tuntutan diluluskan Kejuruteraan dan Pembinaan pada 4QFY23.

 

Firma itu berkata, dari tahun ke tahun, kerugian bersih teras mengecil sebanyak 14.8% disebabkan penggunaan pelantar penggerudian yang lebih tinggi dan peningkatan aktiviti operasi dan penyelenggaraan.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan dan mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 2 sen sesaham. - DagangNews.com