PT Resources bina taman pintar berasaskan teknologi digital bernilai RM1 bilion di Kuantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PT Resources bina taman pintar berasaskan teknologi digital bernilai RM1 bilion di Kuantan

PT Resources dan Ocean Exchange (Fujian) Foreign Trade Services memeterai MoU untuk membangunkan Taman Pintar Rantaian Bekalan Antarabangsa di Kuantan, Pahang.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - PT Resources Holdings Bhd dan Ocean Exchange (Fujian) Foreign Trade Services Co Ltd menjalin kerjasama dalam pembangunan Taman Pintar Rantaian Bekalan Antarabangsa Pantai Timur Malaysia, yang diilhamkan oleh Projek Marché International Cold Logistics and Cross-border E-commerce (Taman Fuzhou) yang terletak di Fujian, China.

 

Projek dianggarkan kira-kira RM1 bilion di Kuantan, Pahang itu bertujuan memacu pembangunan rantaian bekalan industri makanan dan ringan antara Malaysia dan Fuzhou dengan matlamat mencapai pengantarabangsaan mata wang dengan pantas antara kedua-dua negara.

 

Taman pintar itu meliputi kemudahan rantaian sejuk bersepadu untuk memudahkan bekalan rentas sempadan makanan pengguna serta mewujudkan platform kewangan digital bagi menyelaras dan memudahkan pembayaran serta penyelesaian rentas sempadan yang mudah.

 

Selain itu, projek itu juga bertujuan untuk meningkatkan perdagangan antara pasaran borong makanan laut Malaysia dan China melalui transformasi digital, manakala kerjasama dengan syarikat logistik rantaian sejuk akan dimulakan untuk memudahkan rantaian bekalan logistik bersepadu.

 

Pengarah Urusan PT Resources, Heng Chang Hooi berkata, ia adalah peluang terbaik bagi kedua-dua negara untuk membangunkan hab logistik bagi menyokong perdagangan antarabangsa antara Malaysia dan China.  

 

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan projek itu akan mengukuhkan rantaian bekalan antara Malaysia dan China serta memberi manfaat kepada pengguna akhir.

 

“Selain itu, kami menjangkakan pertumbuhan dalam jualan luar negara kami memandangkan kemewahan yang semakin meningkat di China yang akan menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk makanan laut beku di China," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

nizar
                                                           Datuk Mohd Nizar Najib

 

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, pihaknua memuji kerajaan Malaysia dan China atas pandangan jauh dalam memastikan perniagaan di kedua-dua negara menjalankan operasi mereka dengan lancar melalui projek itu.  

 

"Kami percaya inisiatif ini boleh menarik pelabur dan perniagaan domestik dan antarabangsa. China kekal sebagai salah satu rakan dagangan utama Malaysia dan adalah penting untuk mempunyai hab untuk memudahkan perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara," katanya.

 

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) tersebut dimeterai oleh Heng dan wakil Ocean Exchange, Richard Gan Woei Jer sambil disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa Tetap Wilayah Fujian, Fuzhou Lin Baojin; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yien, Datuk Mohamad Nizar Najib, Menteri-Kaunselor Kedutaan China, Lin Shiguang dan Timbalan Datuk Bandar Fuzhou, Huang Jianxiong. - DagangNews.com