Proton tingkatkan perkhidmatan selepas jualan menerusi pembukaan pusat alat ganti baharu di Kuching | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton tingkatkan perkhidmatan selepas jualan menerusi pembukaan pusat alat ganti baharu di Kuching

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Proton mengumumkan pembukaan rasmi pusat alat ganti serantaunya di Kuching, Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia Timur.

 

Kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30%, sekaligus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih tinggi.

 

Pusat alat ganti yang terletak di kawasan perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi itu boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan. 

 

Selain itu, ia juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, dengan peningkatan permintaan pelanggan sejak empat tahun lalu, kemudahan gudang Proton di Malaysia Timur sebelum ini 'melimpah' dengan alat ganti kerana keterbatasan ruang. 

 

Beliau berkata, pusat alat ganti serantau baharu di Kuching adalah tiga kali lebih besar daripada gudang sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

 

“Ruang tambahan itu juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50% daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan. 

 

 

proton
Roslan Abdullah (kiri) ketika melawat pembukaan pusat alat ganti serantau baharu di kawasan perindustrian Bintawa, Kuching, Sarawak.

 

 

"Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Roslan berkata, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat pada 2022, manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada 2022. 

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Katanya, ini merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas memperkenalkan Proton X70. 

 

Populariti model siri X baharu bukanlah satu-satunya pemacu pertumbuhan syarikat, Proton Saga yang kekal sebagai model paling popular juga merupakan puncanya, katanya.

 

"Pada tahun lepas, tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam jadual jualan di Malaysia Timur ialah Proton Saga dengan 10,242 unit diikuti Proton X50 dengan 4,181 unit dan Proton Persona dengan 2,605 unit.

 

 

proton

 

 

proton

 

 

"Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158%," katanya.

 

Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk mencapai angka yang lebih besar tahun ini dengan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan serta pelancaran model baharu dan dikemaskini yang berada dalam perancangan. - DagangNews.com