Proton catat jualan 77,321 unit dalam separuh pertama 2023, melonjak 28.6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton catat jualan 77,321 unit dalam separuh pertama 2023, melonjak 28.6%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Proton telah mencatat jualan 77,321 unit dalam separuh pertama tahun ini, melonjak 28.6% daripada tahun sebelumnya dan merupakan jumlah jualan terkumpul yang terbaik sejak 2012.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata jumlah tersebut mengatasi pertumbuhan jualan untuk industri lebih daripada tiga kali ganda.

 

Bagi bulan Jun, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 61,900 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 23.2% manakala angka pegangan pasaran tahun sehingga kini telah meningkat semula kepada 21.3%, satu peningkatan sebanyak 3.2% dalam tempoh yang sama dari tahun 2022.

 

Syarikat itu berkata ini merupakan angka pertumbuhan tertinggi dalam kalangan lima jenama teratas di pasaran automotif Malaysia, yang juga meningkat sebanyak 9.4% pada separuh pertama tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah yakin pada separuh kedua tahun ini Proton mempunyai produk dan strategi promosi untuk meneruskan trajektori pertumbuhan.

 

“Kami juga akan melaksanakan rancangan untuk mengemas kini rangkaian, melancarkan kemasukan ke pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia dengan PRO-NET dan meningkatkan lagi kualiti produk melalui pelaburan yang diumumkan tahun ini untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran kami,” katanya.

 

Roslan berkata prestasi Proton pada separuh pertama tahun 2023 patut diberi perhatian memandangkan ia mencapai permulaan tahunan yang terbaik sejak tahun 2012 dan juga berada di landasan untuk pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut.

 

Tambahnya, prestasi setakat ini menunjukkan permintaan untuk produk kekal kukuh walaupun unjuran pengurangan kuasa beli untuk pengguna dan kadar pertumbuhan syarikat telah mengatasi pasaran keseluruhan lebih tiga kali ganda.

 

“Ia juga menunjukkan bahawa strategi kami menawarkan produk berkualiti tinggi dengan teknologi ketersambungan pada harga yang berbeza-beza membolehkan kami meliputi sebahagian besar pembeli kereta Malaysia,” ujar beliau.

 

Proton berkata lima model telah menerajui jualan segmen pada bulan lalu iaitu Saga, Persona, X50, Exora dan X90 yang telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Mei 2023 telah menjadi peneraju SUV segmen-D baharu.

 

Proton Saga mencatat jualan tertinggi daripada lapan model dan mendahului semula sedan segmen-A dengan 6,111 unit terjual pada bulan lalu dan 33,325 unit dijual dalam separuh pertama tahun ini yang juga merupakan prestasi terbaik model itu sejak tahun 2012.

 

Sementara itu, Proton X90 yang merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama syarikat itu dilaporkan menunjukkan prestasi lebih baik dari segi peratusan, di mana 1,082 unit telah diserahkan dan meningkat lebih daripada empat kali ganda pada Jun, meletakkan model itu di tangga teratas kategori SUV segmen-D. - DagangNews.com