Proton catat jualan 11,025 unit kenderaan pada April 2024, X50 mendahului semula jualan SUV segmen-B | DagangNews Skip to main content

Proton catat jualan 11,025 unit kenderaan pada April 2024, X50 mendahului semula jualan SUV segmen-B

Proton X50 mendahului semula jualan SUV segmen-B walaupun berdepan saingan sengit daripada jenama lain pada April 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pengeluar kereta nasional, Proton mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 11,025 unit bagi jualan domestik dan import atau peningkatan sebanyak 17.1% berbanding 9,415 unit pada bulan sama tahu sebelumnya.

 

Jualan bagi empat bulan pertama 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023. 

 

Jumlah Jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia pula juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.

 

Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7% pada bulan April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2%, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara manakala jualan eksport melonjak sebanyak 38.5% dari 603 unit kepada 835 unit sejak awal tahun hingga April tahun ini.

 

Proton X50 mendahului semula jualan SUV segmen-B walaupun menghadapi persaingan yang semakin sengit, ia mencapai jualan 1,642 unit pada April 2024 manakala Proton S70 telah mendahului jualan sedan segmen-C sejak awal tahun dengan 1,635 unit terjual pada bulan lalu. Bagi tahun 2024, ia telah mencapai jualan kumulatif sebanyak 7,463 unit. 

 

proton
Roslan Abdullah

 

Model terlaris iaitu Proton Saga, mencatatkan jualan sebanyak 5,031 unit pada April dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8% kepada 23,278 unit, mengekalkannya sebagai pilihan utama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penurunan dalam jualan automotif pada April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac 2024 mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Beliau berkata, bagaimanapun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemandu.

 

"Jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang dan dengan Proton S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik serta eksport, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami. 

 

"Tahun ini, kami telah menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh," katanya. - DagangNews.com