KUALA LUMPUR 23 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) semakin optimis terhadap prospek Westports Holdings Berhad disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dan potensi pertumbuhan perdagangan intra-Asia yang berterusan.
Firma penyelidikan itu berkata walaupun menghadapi cabaran berterusan dalam perdagangan global, ia yakin dengan keupayaan Westports untuk mengharunginya.
Jelasnya, ia optimis terhadap prospek Westports, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam perdagangan intra-Asia yang menyokong daya pemprosesan penghantaran yang lebih tinggi, manakala peningkatan FDI di Malaysia akan menyokong pertumbuhan jumlah kontena.
“Nisbah hutang kepada ekuiti Westports sebanyak 0.15 kali pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 menyediakan ruang hutang mencukupi dan aliran tunai bebas yang kukuh sebanyak RM800 juta setahun.
“Kami menganggarkan, mengurangkan kemungkinan pencairan yang besar dalam potensi panggilan ekuiti untuk membiayai Westport 2.0 yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM1 bilion pada mulanya dalam perbelanjaan modal,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Maybank IB menjangkakan momentum pertumbuhan daya pemprosesan kontena sebanyak 8% pada suku kedua tahun ini kekal sehingga suku ketiga, untuk memenuhi anggaran 6% YoY firma untuk FY23.
Mengulas tentang pembangunan pelabuhan ketiga di Pelabuhan Klang iaitu di Pulau Carey, firma itu berkata mengikut Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, ia adalah pembangunan selama 30 tahun.
“Menyediakan kargo konvensional pada mulanya (Fasa 1), Pulau Carey akan menyokong kapasiti Pelabuhan Klang bersama pengembangan Westports 2.0.
“Kapasiti kontena 30 juta TEU di Pulau Carey Fasa 2 hanya dijangka bermula paling awal pada 2043, selepas Westports 2.0 mencapai penggunaan penuh menjelang akhir 2030-an. Ini memastikan sinergi, berbanding persaingan antara pelabuhan di Pelabuhan Klang,” tambahnya.
Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan Wesports namun menaikkan taraf saranan saham kepada ‘beli, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM3.68 kerana firma itu berpendapat bahawa nilai telah muncul dengan jumlah peningkatan melebihi 10%, berikutan penurunan harga sahamnya baru-baru ini.
Pada rehat tengah hari, saham Westports menokok 6 sen atau 1.9% kepada RM3.30 dengan permodalan pasaran sebanyak RM11.3 bilion. - DagangNews.com








