KUALA LUMPUR 14 Julai - AmInvestment Bank Research menyemak turun harga sasaran Kossan Rubber Industries Bhd. kepada RM1.23 daripada RM1.60 sebelum ini dengan penarafan 'pegang' dikekalkan.
Sejajar dengan semakan semula ini, firma itu mengurangkan anggaran untung bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 8% dan 13%.
Ini berikutan penurunan kadar penggunaan kilang sebanyak 10% hingga 25% daripada paras normal sebelum ini pada 85% dan kos operasi yang lebih tinggi disebabkan kenaikan harga harga gas asli dan tarif elektrik.
"Kami juga menganggarkan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah bagi FY22 sebanyak AS$24.50 per 1,000 keping manakala AS$24.70 bagi FY23 (berbanding sebelum ini AS$25/AS$24.90).
"Anggaran hasil kami bagi FY22 hingga FY24 juga di bawah konsensus kami sebanyak 14% hingga 35%," katanya dalam nota kajian hari ini.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih Kossan merosot 58.6% suku ke suku kepada RM90.6 juta disebabkan ASP campuran susut 22% hingga 27% kepada anggaran AS$30 per 1,000 keping.
Margin keuntungan yang dimampatkan ini, diburukkan lagi oleh kadar penggunaan yang lebih rendah sebanyak 70% (daripada 85% hingga 90% pada suku pertama FY21) ekoran peningkatan persaingan daripada pembekal sarung tangan dan harga bahan mentah, sebahagiannya diimbangi oleh permintaan yang lebih tinggi dalam produk getah teknikal (TRP).
Dalam pertemuan dengan pengurusan Kossan baru-baru ini, AmInvestment berkata, kumpulan menjangkakan pendapatan kembali normal pda suku kedua FY22 memandangkan peningkatan kes COVID-19 dan cacar monyet tidak menjejaskan hasilnya dengan ketara.
Kumpulan juga menjangkakan ASP bagi sarung tangan getah campuran kekal di bawah tekanan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang berikutan pelarasan harga di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.
"Bagaimanapun, kami mendapati hasil bagi suku ke suku adalah lebih rendah disebabkan lebihan bekalan global mengheret turun ASP.
"Namun, Kossan percaya, kedudukan tunai yang kukuh sebanyak RM2.3 bilion akan membantu kumpulan mengharungi ketidaktentuan dalam sektor sarung tangan getah," jelasnya.
Firma itu turut mengunjurkan ASP bagi sarung tangan nitril akan stabil pada AS$25 per 1,000 keping, berada dalam julat anggarannya bagi FY22 hingga FY23.
Secara keseluruhan, AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek industri sarung tangan getah dalam tempoh sederhana,
"Ini memandangkan penyatuan pasaran boleh menekan ASP sehingga separuh pertama FY23, ditambah lagi dengan jualan yang lebih rendah akibat gangguan logistik dan persaingan yang semakin sengit," katanya.
Setakat 10.37 pagi, harga saham Kossan menokok 2 sen atau 1.56% kepada RM1.30 dengan 879,700 saham diniagakan. - DagangNews.com








