Prospek nilai kontrak Gamuda kekal mantap, CGS-CIMB naikkan harga sasaran kepada RM4.35 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek nilai kontrak Gamuda kekal mantap, CGS-CIMB naikkan harga sasaran kepada RM4.35

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jun - CGS-CIMB Research menyemak naik harga sasaran Gamuda Bhd. kepada RM4.35 daripada RM4.25 sebelum ini dengan saranan 'tambah' dikekalkan terhadap saham syarikat pembinaan itu. 

 

Ini berikutan kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi ramalannya pada suku ketiga berakhir 30 April 2022 dengan untung bersihnya melonjak 56% kepada RM221.49 juta berbanding RM141.89 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Pendapatan bagi tempoh itu pula meningkat 22% kepada RM1.18 bilion daripada RM971.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 April 2022, untung bersih berkembang 47% kepada RM550.98 juta daripada RM375.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 22% kepada RM3.22 bilion daripada RM2.63 bilion.

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, Gamuda merekodkan hasil yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi tempoh 9 bulan disumbangkan terutamanya menerusi projek hartanah di Vietnam pada suku ketiga dan keuntungan akhir (penjimatan kos) daripada projek MRT2.

 

Katanya, ini menyaksikan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 5.6% suku ke suku pada suku ketiga kepada 20.1% dengan margin EBITDA bagi tempoh 9 bulan pada 17.1%, lebih tinggi daripada unjuran tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22) pada 12%.

 

"Keputusan bagi tempoh 9 bulan adalah melebihi jangkaan dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM544.4 juta diperoleh pada 85% daripada anggaran tahun penuh kami dan konsensus.

 

"Panduan yang diberikan pengurusan menunjukkan untung bersih teras pada suku keempat juga dijangka lebih kukuh dipacu pembangunan projek hartanah di peringkat domestik dan luar negara, dengan keuntungan yang diiktiraf daripada MRT2, berterusan sehingga separuh pertama FY23 dan pembayaran daripada projek baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Segmen pembinaan, hartanah lonjak untung bersih Gamuda kepada RM221.49 juta pada Q3

 

Menurut beliau, kumpulan bagaimanapun dilihat kurang bimbang terhadap kenaikan kos bahan mentah berikutan risiko yang minimum dan terurus daripada pemampatan margin pembinaan pada FY22 hingga FY23.

 

Jelasnya, ini disebabkan margin kontrak domestik dilindungi oleh klausa peningkatan (bayaran daripada kerajaan) manakala harga tender bagi projek MRT3 sebahagian besarnya mencerminkan harga bahan mentah  semasa.

 

"Selain itu, terdapat kontrak yang masih berjalan di Singapura dan Taiwan (lebih awal daripada jadual) termasuk klausa peningkatan dan kontrak yang baru diperoleh di Australia bernilai RM8.5 bilion (berdasarkan usaha sama) adalah projek infra keutamaan yang dibiayai kerajaan dengan ruang untuk berunding atau menuntut kenaikan harga bahan mentah," katanya.

 

Secara keseluruhan, Sharizan mendapati prospek pertumbuhan nilai kontrak Gamuda kekal mantap dalam tempoh setahun setengah. 

 

Ini kerana katanya, perolehan terbaharu kumpulan bernilai RM2.1 bilion bagi projek Coffs Harbour Bypass di New South Wales telah meningkatkan nilai kontrak kumpulan kepada paras tertinggi setakat ini sebanyak RM12.4 bilion.

 

"Gamuda juga mempunyai peluang untuk meraih beberapa projek dalam perancangan antaranya MRT3, Penang South Island (PSI) dan North-East Link di Melbourne. 

 

"Perolehan ini akan meningkatkan nilai kontrak kumpulan kepada sekurang-kurangya RM20 bilion, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan kontrak di peringkat domestik," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Gamuda sebanyak 17.6% bagi FY22 setelah mengambil kira margin EBITDA yang lebih tinggi dan mengekalkan unjuran FY23-FY24 sementara menunggu penyelesaian perjanjian lebuh raya.

 

Setakat 9.15 pagi, harga saham Gamuda menokok 11 sen atau 3.22% kepada RM3.53 dengan 763,500 saham diniagakan. - DagangNews.com