KUALA LUMPUR 29 Ogos - Cahya Mata Sarawak Bhd. dijangka berdepan prospek mencabar pada separuh kedua ini di tengah-tengah kenaikan kos bahan mentah, masalah kekurangan buruh dan kekangan logistik, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.
Berdasarkan kepada prestasi kewangannya bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersihnya susut 11% kepada RM111.6 juta daripada RM125.2 juta, tetapi pendapatan meningkat 9.5% kepada RM423.8 juta berbanding RM387.06 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu menyifatkan ia terus menghadapi cabaran seluruh industri seperti kenaikan mendadak dalam harga bahan mentah, kekurangan buruh dan kekangan rantaian bekalan global, namun berada di landasan untuk melaksanakan strategi dan inisiatif perniagaan utama dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurut firma itu, keuntungan bersih pada separuh pertama itu merangkumi 57% dan 53% bagi unjurannya dan konsensus, berbanding ramalannya, disumbangkan menerusi operasi segmen simen dan syarikat bersekutu.
"Setakat ini, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kerana mengambil kira prospek separuh kedua yang lebih lemah.
"Pada masa sama, kami juga menantikan penyelesaian penjualan 25% kepentingan dalam OM Material (Sarawak) Sdn. Bhd, dan OM Materials (Samalaju) Sdn. Bhd. kepada OM Materials (S) Pte Ltd (OMS) bernilai AS$120 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Cahya Mata Sarawak susut 16.5% kepada RM39.57 juta 2QFY22
Kumpulan telah memperoleh kelulusan pemegang saham untuk melupuskan ekuitinya kepada OMS pada 26 Ogos lalu.
OMS, anak syarikat milik penuh Australian Securities Exchange dan OM Holdings Ltd (OMH) yang tersenarai di Bursa Malaysia memiliki baki 75% pegangan dalam kedua-dua OM Sarawak dan OM Samalaju.
Firma itu berkata, tanpa keuntungan daripada jualan jualan ekuiti itu, ia akan merendahkan lagi unjuran untung bersih Cahya Mata Sarawak sebanyak 26% bagi FY23.
"Penjualan itu bagaimanapun akan mengukuhkan lagi kunci kira-kiranya (0.07 kali penggearan bersih setakat 30 Jun 2022)," jelasnya.
Selain itu, tambahnya, cadangan pengambilan Scomi Oilfield Ltd termasuk 12 anak syarikat dan aset bernilai RM15.75 juta secara tunai dijangka selesai pada suku ketiga ini.
Sebelum ini, jelasnya, kumpulan memberitahu bahawa ia tidak mengambil alih sebarang hutang atau jaminan.
Sementara itu, Maybank IB berkata, operasi simennya telah memulakan inisiatif kecekapan kos baharu untuk membantu mengimbangi kesan kos bahan yang lebih tinggi.
"Bagi projek loji fosfatnya di bawah kompleks Malaysian Phosphate Additives Sarawak (MPAS) (yang dimilikinya 60%) dijadualkan untuk operasi komersial menjelang akhir 2022 dengan kumpulan kekal fokus pada garis masa dan kejayaan projek ini," katanya.
Secara keseluruhan firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.27 sesaham.
Setakat 9.39 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 2.07% kepada 94.5 sen dengan 473,200 saham diniagakan. -DagangNews.com








