KUALA LUMPUR 25 Sept - Prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal menyederhana dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan setelah Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 109 mata pada Julai 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut dipacu oleh pertambahan ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan sebanyak 200.8%.
“Namun begitu, penurunan yang berterusan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-24.3%) dan import benar semi konduktor (17.4%) mempengaruhi pertumbuhan keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan media DOSM hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Julai 2023 yang diterbitkan jabatan tersebut hari ini.
Mohd Uzir berkata melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.7% pada bulan rujukan berbanding negatif 0.5% pada bulan sebelumnya.
Jelasnya, penurunan ini disebabkan oleh penyusutan dalam semua komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1%) dan jangkaan nilai jualan dan pembuatan (0.1%).
“Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Julai 2023 masih kekal di bawah trend 100 mata, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia terus menyederhana dalam masa terdekat disebabkan oleh prospek global yang tidak menentu,” katanya.
Dari segi keadaan ekonomi semasa, beliau berkata Indeks Serentak (IS) mencatatkan 123.5 mata pada Julai 2023, meningkat sebanyak 2.2% berbanding 120.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kecenderungan ini disumbangkan oleh semua komponen IS terutamanya nilai caruman benar, KWSP yang meningkat 15.5%.
Pada masa yang sama, beliau berkata prestasi bulanan IS turut naik 0.2% berbanding penurunan 0.9% pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit sebanyak 0.3%. - DagangNews.com








