Prospek Econpile tidak menentu, dipengaruhi kenaikan harga bahan binaan | DagangNews Skip to main content

Prospek Econpile tidak menentu, dipengaruhi kenaikan harga bahan binaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mac - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Econpile Holdings Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada 28 sen daripada 30 sen sebelum ini selepas menyemak semula unjuran hasil kumpulan.

 

Firma itu mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) hingga FY24 masing-masing sebanyak 64%, 25% dan 30%.

 

Semakan itu dibuat setelah sasaran penambahan kontrak bagi FY22-FY23 masing-masing dikurangkan kepada RM100 juta, RM250 juta dan RM250 juta daripada RM300 juta sebelum itu manakala unjuran bagi FY24 dikekalkan.

 

Econpile hanya memperoleh kontrak baharu bernilai RM71.4 juta bagi FY22, berbanding panduannya sebelum ini, sebanyak RM300 juta.

 

"Kami percaya, prospek kumpulan masih lagi suram dipengaruhi risiko harga bahan binaan yang lebih tinggi berikutan ketidaktentuan ketegangan geopolitik. 

 

"Dengan kira-kira 45% daripada kos struktur Econpile dianggarkan terdiri daripada bahan binaan - keluli, simen dan konkrit - pemampatan margin tidak dapat dielakkan jika harga bahan mentah terus meningkat.

 

"Analisis kami menunjukkan bagi setiap kenaikan 10% bagi harga bahan mentah ini, akan merendahkan margin sebanyak 4 mata peratusan," katanya dalam nota kajian. 

 

Secara keseluruhan, RHB Research berpendapat, prospek kumpulan adalah bercampur-campur memandangkan ketika ini ia bergelut untuk menambah kontrak pembinaan dan tekanan mungkin meningkat jika nilai kontrak ternyata lebih rendah daripada yang dianggarkan.

 

Pengurusan memberi panduan bahawa nilai kontrak semasa Econpile hanya terdiri daripada projek pembangunan hartanah bernilai RM690 juta yang mungkin memberikan pendapatan dalam tempoh 2 tahun akan datang.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat, Econpile mempunyai peluang untuk meraih kerja-kerja berkaitan MRT3 ekoran pendedahannya dalam projek fasa kedua infrastruktur, MRT2.

 

"Selain itu, semakan dengan penganalisis hartanah kami juga mendapati beberapa projek akan dilancarkan separuh kedua tahun ini, dan ini turut memberi peluang kepada Econpile menerusi projek pembangunan hartanah.

 

"Sementara itu, kerja-kerja cerucuk untuk kompleks rekreasi bersepadu Kemboja sedang berjalan seperti yang dijadualkan," katanya. - DagangNews.com