Prospek Chin Will diunjur tidak menentu pada suku-suku akan datang akibat sentimen ekonomi global lemah – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek Chin Will diunjur tidak menentu pada suku-suku akan datang akibat sentimen ekonomi global lemah – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - TA Securities menjangkakan prospek Chin Well Holdings Berhad pada suku-suku berikutnya masih tidak menentu memandangkan permintaan produk pengikat telah perlahan akibat kelemahan sentimen ekonomi global.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa perang Israel-Hamas, konflik Ukraine-Rusia yang berterusan, ketegangan hubungan Amerika Syarikat-China dan kemungkinan kemelesetan dalam pasaran utama secara kolektif telah memberi kesan buruk kepada sentimen ekonomi global dan seterusnya, telah melembapkan permintaan global untuk produk pengikat.

 

Syarikat pembuatan produk pengikat (skru, nat dan bolt) dan wayar itu telah mencatat penurunan keuntungan bersih teras sebanyak 86.1% kepada RM4.5 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), manakala pendapatannya lebih rendah 38.2% pada RM167.4 juta.

 

TA Securities berkata, pendapatan teras 1HFY24 kumpulan sebanyak RM4.5 juta berada di bawah jangkaan firma dan konsensus masing-masing hanya pada 11.5% dan 13.8% daripada anggaran tahun penuh. 

 

“Prestasi pendapatan yang lebih lemah boleh dikaitkan dengan dua faktor, iaitu permintaan lemah di rantau Eropah dan penurunan purata harga jualan (ASP), serta kemerosotan jumlah jualan akibat kelembapan aktiviti eksport dan ketidaktentuan pasaran semasa,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bahagian pengikat dan bahagian wayar menyaksikan pengurangan ketara masing-masing sebanyak 92.8% dan 81.5% kepada RM3.2 juta dan RM200,000.

 

Berikutan prestasi lemah tersebut, TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan Chin Well bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 61.1%, 42.1% dan 22.2%, selepas melaraskan andaian ASP lebih rendah untuk produk pengikat tertentu dan penurunan jumlah jualan produk wayar.
 

“Walaupun terdapat ketidaktentuan, kami menjangkakan prospek beransur-ansur meningkat, didorong oleh jangkaan permulaan semula projek pembinaan infrastruktur utama di Malaysia,” tambahnya.

 

Selepas memfaktorkan penyelarasan unjuran pendapatan dan tahun asas penilaian bermula pada 2025, firma penyelidikan itu menurunkan taraf saranan Chin Well kepad ‘jual’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.11 sesaham berbanding RM1.41 sebelumnya, berdasarkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) tidak berubah sebanyak 9 kali.

 

Pada rehat tengah hari, saham Chin Well ditutup rendah 2 sen atau 1.6% kepada RM1.20 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM359.4 juta. - DagangNews.com