KUALA LUMPUR 14 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan Berjaya Food Bhd. akan merekodkan prestasi kewangan yang lebih lemah pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) ekoran tekanan kos dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Walaupun permintaan dijangka perlahan terhadap produknya di tengah-tengah persaingan dan tekanan inflasi yang tinggi, namun firma itu percaya ia akan disokong sebahagiannya oleh jenama Starbucks yang kuat dalam kalangan penggemar kopi premium itu.
Menurutnya, margin Berjaya Food terus berada dalam tekanan pada separuh kedua disebabkan kenaikan kos input seperti susu dan gula manakala perbelanjaan operasi yang tinggi berpunca daripada langkah agresif kumpulan melaksanakan pengembangan cawangan, kos pekerja yang lebih tinggi serta kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih.
"Bagaimanapun, kami memahami bahawa Berjaya Food sedang mencari sumber secara aktif untuk pembekal yang kompetitif bagi mengawal kosnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022, Berjaya Food mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM35.5 juta, atau pendapatan sesaham 2.02 sen berbanding RM38.9 juta, atau 2.16 sen dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi suku tersebut meningkat 8.3% kepada RM295.3 juta daripada RM272.7 juta tahun lepas, terutama disebabkan pembukaan kafe Starbucks tambahan pada suku semasa dalam tinjauan.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan, Berjaya Food mencatatkan keuntungan bersih RM70.2 juta, meningkat 39% daripada RM50.5 juta tahun lalu manakala pendapatan meningkat 25.6% kepada RM578.4 juta berbanding RM460.5 juta setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, CGS-CIMB mengulangi saranan 'pegang' terhadap Berjaya Food dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.18 sesaham.
Firma itu mengulangi anggaran pendapatan kumpulan bagi FY23 hingga FY23 memandangkan prestasi kewangan yang direkodkan pada separuh pertama itu memenuhi jangkaannya.
Setakat 10.27 pagi, harga sahamnya susut 5 sen atau 4.42% kepada RM1.08 dengan 3.21 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








