Projek MRT3 dijangka pacu nilai kontrak Sunway Construction pada separuh kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek MRT3 dijangka pacu nilai kontrak Sunway Construction pada separuh kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Julai - AmInvestment Bank Research menjangkakan aliran kerja Sunway Construction Group Bhd. akan kembali pulih pada separuh kedua ini terutamanya menerusi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3). 

 

Firma itu berpendapat, syarikat pembinaan tempatan itu berpotensi untuk meraih kontrak kerja landasan tinggi MRT3 termasuk CMC301 dianggar bernilai RM2.1 bilion atau CMC302 (dianggar bernilai RM9.7 bilion). 

 

"Ini kerana syarikat ini memiliki lembaran imbangan dan terbukti mempunyai rekod prestasi yang mantap. 

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran tambahan nilai kontrak kumpulan sebanyak RM1.7 bilion setahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Di bawah MRT3, Kementerian Pengangkutan memberi panduan bahawa kerja landasan tinggi bakal merangkumi 80% daripada jajaran MRT3.

 

Pada Mei lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) membuka 3 pakej tender membabitkan projek MRT3 kepada kontraktor yang layak.

 

Tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

Bagi pakej terakhir pula CMC303, membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.

 

Selain MRT3, AmInvestment juga menjangkakan Sunway Construction akan memperoleh penambahan nilai kontrak menerusi kerja-kerja bangunan daripada syarikat di bawahnya Sunway Group yang menyasarkan pelancaran projek baharu bernilai RM2.3 bilion pada FY22.

 

Kumpulan juga, katanya, akan mendapat kelebihan daripada tempahan pratuang yang lebih tinggi daripada kilang pratuang pembinaan dan prafabrikasi bersepadu (ICPH) di Singapura (dimiliki 49%) yang akan beroperasi pada Ogos 2022.

 

"Pentauliahan kilang ini akan meningkatkan kapasiti pratuang tahunan kumpulan kepada 200m3 daripada 126m3. 

 

"Kami menjangkakan kilang itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Sunway Construction daripada FY23," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Sunway Construction dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.69 sesaham. 

 

"Dalam pertemuan kami dengan pengurusan baru-baru ini, kumpulan menyatakan kebanyakan projeknya yang sedang berjalan berada di peringkat intensif pasca struktur, justeru, impak daripada kos bahan binaan yang tinggi masih terurus.

 

"Bagi tender terkini, kos yang lebih tinggi telah diambil kira dalam kenaikan nilai kontrak. Malah, Sunway Construction juga menjangkakan masalah kekurangan buruh akan berkurangan dalam beberapa bulan akan datang," jelasnya. - DagangNews.com