Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Dis - Di sebalik bajet pengembangan yang merekodkan peruntukan pembangunan terbesar di bawah Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), prospek sektor pembinaan negara pada tahun hadapan dilihat terus hambar.
Ini kerana menurut MIDF Research dalam laporan prospek ekonomi 2022, status bagi beberapa projek berimpak tinggi masih dalam keadaan tidak menentu.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75.6 bilion bagi peruntukan pembangunan di bawah Bajet 2022, meningkat 9.6% daripada 2021 dan tertinggi setakat ini.
"Dengan peruntukan ini, penganalisis kami mengunjurkan sektor ini akan mencatat pertumbuhan 2 digit sebanyak 19.7% tahun ke tahun pada 2022, yang mencerminkan pemulihan kukuh berbanding 2021 yang menguncup 4.6% tahun ke tahun.
"Bagaimanapun, kami mendapati impak daripada bajet ini tidak membawa perubahan kepada syarikat pembinaan di bawah liputan kami kerana penyambungan atau pengenalan semula projek infrastruktur mega seperti MRT3 tidak disertakan (dalam bajet ini)," katanya dalam laporan itu hari ini.
Di bawah Bajet 2022, sebahagian besar peruntukan tersebut adalah untuk menangani pembangunan tidak sekata di beberapa negeri antaranya membabitkan pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, kawasan perindustrian dan program membasmi kemiskinan.
Walaupun, ia dijangka memberi impak positif untuk menangani ketidakseimbangan, tetapi projek infrastruktur berskala kecil tidak dapat memberi perubahan kepada nilai projek bagi pemain industri.
"Analisis kami menunjukkan trend penurunan nilai projek dalam kalangan syarikat di bawah liputan kami kira-kira 20% berbanding 2017.
"Trend ini membentuk kecenderungan menurun kami terhadap pendapatan syarikat dan tahap penilaian terhadap sektor yang berada dalam julat yang kami anggap adil," jelasnya.
Beberapa syarikat pembinaan di bawah liputannya menyaksikan penurunan nilai projek daripada RM40.6 bilion pada 2018 kepada RM32.7 bilion, atau susut 20%.
Dalam kalangan syarikat bermodal besar di bawah liputannya, hanya Sunway Construction Bhd. mampu menguruskan penurunan ini dengan penguncupan 1 digit pada -8% berbanding syarikat-syarikat lain, kerana ia disokong oleh projek dalaman yang besar dan kontrak di luar negara.
Sebaliknya, nilai projek Gamuda Bhd. menyusut sehingga 25%, memandangkan kira-kira 55% daripada buku pesanannya adalah daripada kontrak MRT2, yang sudah mencapai tahap 83% dan dijangka siap pada 2022.
"Ini menimbulkan kebimbangan kepada kami mengenai sejauh mana pendapatan syarikat bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana.
"Dalam hal ini, kami berpendapat hanya dengan menghidupkan semula projek infrastruktur mega seperti MRT3 akan menjadi pemangkin utama untuk menggerakkan sektor ini pada masa hadapan.
"Tanpanya, prospek jangka pendek dilihat kurang menarik dan tahap penilaian kekal mendatar," katanya.
Namun, menurut MIDF Research, projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang menyaksikan peruntukan besar di bawah Bajet 2022 akan mengukuhkan prospek pertumbuhan dalam tempoh jangka masa panjang.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.2 bilion bagi Sabah dan RM4.6 bilion di Sarawak bagi kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya.
"Kami juga berpendapat bahawa banyak kerja-kerja menaik taraf yang berpotensi untuk lebih 1,800 projek akan meningkatkan permintaan simen, konkrit dan paip keluli.
"Ini secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada pemain tempatan seperti Cahya Mata Sarawak Bhd., memandangkan ia merupakan satu-satunya pengeluar simen di rantau ini," tambahnya.
Malah, firma itu berkata, prospek bagi kontraktor tempatan juga lebih menyakinkan memandangkan potensi pelaksanaan projek berskala besar.
Selain itu, katanya, kontraktor yang memiliki imbangan tunai kukuh juga akan berada dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh projek infrastruktur utama dalam pengurusan alam sekitar (EM) seperti Hock Seng Lee Bhd. kerana ia merupakan satu-satunya syarikat yang memiliki rangkaian penuh mesin pengorek terowong bagi rangkaian pembentung dalam EM.
"Oleh itu, kami berpendapat, prospek bagi nilai projek dan pendapatan membabitkan pemain pembinaan EM akan kekal cerah dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang," jelasnya.
Bagaimanapun, setelah mengambil kira pelbagai faktor, secara keseluruhan, MIDF Research menyemak turun sektor pembinaan kepada 'neutral' berbanding 'positif' sebelum ini berikutan prospek yang lebih lemah dalam tempoh terdekat dan sederhana.
"Tetapi, kami berharap sektor ini akan kembali pulih dan mengekalkan tahap kepatuhan dalam menilai impak dasar dan tempoh masa jangkaan pemulihan," katanya. - DagangNews.com








