KUALA LUMPUR 20 April – Pasaran hartanah Singapura akan mendorong momentum pertumbuhan IOI Properties Group memandangkan kumpulan itu mengalihkan tumpuannya ke negara itu pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24).
Susulan pertemuan dengan pengurusan kumpulan itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata di Singapura, IOI Central Boulevard (IOICB) akan mula beroperasi pada 2024, sementara projek pembangunan bercampur Marina View dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.6 bilion dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini.
Dalam tahun kewangan 2022 (FY22), kumpulan tersebut melaporkan nilai buku IOICB berjumlah RM9.93 bilion pada 30 Jun 2022 dan ini akan meningkatkan nilai buku pelaburan hartanah IOI Properties dengan ketara sebanyak 1.4 kali kepada RM16.97 bilion daripada RM7.04 bilion pada masa ini.
Jumlah tersebut lebih besar daripada nilai RM15.7 bilion pada 31 Disember 2022 KLCC REIT sebagai REIT Malaysia terbesar dan sekiranya terdapat penyenaraian segmen itu pada masa hadapan, HLIB percaya potensi had pasaran berkemungkinan lebih besar daripada had pasaran semasa IOI Properties yang berjumlah RM6.55 bilion.
Menurut firma penyelidikan itu, pembinaan IOICB berjalan dengan baik dan dalam landasan untuk siap menjelang akhir tahun ini, di samping telah memperoleh 30% penyewaan komited daripada penyewa utama dengan sewaan sebanyak S$11 setiap kaki persegi sebulan.
“Menggunakan kiraan kasar, dengan mengandaikan kadar penghunian 70%, sewaan S$11 setiap kaki persegi sebulan dan kadar pertukaran RM3.30, dianggarkan ia membawa pendapatan sewa kasar tahunan yang sangat besar sebanyak S$118.3 juta atau kira-kira RM390 juta,” katanya dalam nota hari ini.
Sementara itu, kumpulan itu juga akan mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan rumah di China pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) yang mana harga rumah telah meningkat dua bulan berturut-turut pada Mac 2023 sebanyak 0.44% bulan ke bulan (MoM) seperti dilaporkan oleh Biro Perangkaan Kebangsaan China, kata firma itu.
Firma itu menjangkakan jualan di China meningkat secara beransur-ansur pada suku akan datang, disokong oleh makluman kumpulan itu berkenaan minat baharu untuk pembelian hartanah berikutan dua projeknya, IOI Palm City dan IOI Palm International Parkhouse, mencatatkan peningkatan dalam pertanyaan.
Susulan beberapa perkembangan positif ini, HLIB meningkatkan unjuran pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 1.4% dan 9.1%, terutamanya untuk mengambil kira sumbangan yang lebih tinggi daripada IOICB.
“Kami menyukai IOI Properties kerana strategi mantapnya dalam meluaskan pembangunan hartanah ke seluruh Malaysia, Singapura dan China yang membolehkan kumpulan itu mengatur masa pasaran secara strategik berdasarkan keadaan pasaran hartanah tempatan.
Selain itu, segmen pelaburan hartanahnya juga semakin kukuh yang sepatutnya menyediakan kumpulan dengan aliran pendapatan berulang yang stabil,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.60 sesaham. -DagangNews.com








